Wednesday, February 29, 2012

BN Di Hatiku Perlu Gerakan Massa Secara Besar-Besaran

Barisan Nasional (BN) perlu melakukan ‘gerakan massa’ secara besar-besaran untuk memastikan parti kerajaan mampu mengekalkan kedudukannya di negeri ini pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BN) Terengganu, Datuk Rosol Wahid mengakui beliau tidak melihat satu gerakan hebat melalui konsep BN Di Hatiku ketika ini.

Beliau berkata, promosi secara lebih proaktif perlu dilakukan untuk memastikan BN mendapat keputusan terbaik sebagaimana yang diperoleh dalam pilihan raya umum 2004 melalui konsep Gelombang Biru apabila BN berjaya mengalahkan Pas, dan merampas semula Terengganu pada pilihan raya tersebut.

“Kita melihat gerakan tidak menonjol. Sebaliknya dahulu, melalui konsep Gelombang Biru usaha dilakukan untuk mempromosi BN tetapi konsep BN Di Hatiku memperlihatkan ‘gerakan massa’ tidak menonjol untuk mencapai matlamat kemenangan.

“Jadi, sepatutnya perlunya gerakan secara besar-besaran untuk menampakkan kesan yang lebih baik,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, gerakan itu amat penting dan perlu dilakukan meliputi pelbagai medium kerana telah terbukti ia membantu memulihkan kedudukan BN dengan majoriti lebih besar pada PRU11.

Rosol tidak menafikan, sekiranya gerakan tersebut tidak dilakukan secara habis-habisan, BN berkemungkinan sukar mendapat majoriti lebih besar berbanding sedia ada.

Mengulas lanjut, beliau bagaimanapun tidak menolak, gerakan mungkin dilakukan dalam konsep berlainan tanpa disedarinya memandangkan beliau tidak terlibat dengan BN Di Hatiku secara langsung.

“Saya juga tidak tahu konsep tersebut secara terperinci tetapi gerakan memang penting untuk memastikan BN menang dalam pilihan raya,” katanya.

No comments:

Post a Comment