Tuesday, February 28, 2012

E-Pembayaran Melalui Telefon Bimbit, Komputer Tablet Akhir Tahun

Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (PEMUDAH) akan memulakan saluran myBayar bagi sektor awam menerusi telefon bimbit dan komputer tablet menjelang akhir tahun ini.

PEMUDAH akan melaksanakan projek perintis Kerajaan Bergerak (MyMobile) itu pada suku pertama tahun ini.

MyMobile ialah sebahagian daripada penekanan kerajaan terhadap sistem e-bayaran melalui telefon bimbit dan komputer tablet, dengan matlamat menyediakan pelbagai saluran dan mempromosi penggunaan kemudahan e-bayaran.

Menurut Laporan Tahunan Pemudah 2011, projek perintis ini akan disediakan di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional untuk suku pertama dan akan dilanjutkan kepada 20 agensi lain menjelang akhir tahun ini.

Laporan itu turut menyebut bahawa inisiatif kerajaan ini disasarkan dapat memacu penggunaan myBayar sektor awam ke tahap sasaran iaitu 90 peratus.

Tahun lepas, PEMUDAH telah meningkatkan liputannya kepada 239 agensi, menawarkan 449 servis dalam talian melalui agensi-agensi kerajaan dan portal-portal bank.

Dalam urusan Halal, PEMUDAH melaporkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN/MAIN), bersetuju untuk sama-sama bertanggungjawab dalam urusan pengesahan serta menyeragamkan pengurusan sistem pengesahan Halal.

PEMUDAH juga berhasrat mengurangkan tempoh masa yang diambil untuk memproses sijil Halal yang baharu kepada 30 hari berbanding 90 hari sebelumnya.

Tahun lepas juga menyaksikan PEMUDAH memudahcarakan enakmen Rang Undang-Undang Pembayaran dan Adjudikasi Industri Pembinaan 2011 (CIPA) yang akan memudahkan pembayaran mengikut masa yang tepat.

"Rang Undang-undang itu meliputi kontrak untuk kerja pembinaan, pembekal pembinaan dan khidmat nasihat. Ia disasarkan untuk dilaksanakan menjelang akhir tahun 2012," kata laporan itu.

Tahun ini pula, Suruhanjaya Persaingan Malaysia akan menjalankan pelbagai program sokongan untuk meningkatkan pemahaman terhadap akta Persaingan 2012.

Menurut laporan tersebut, pelbagai garis panduan akan diterbitkan untuk membantu pemilik kepentingan memahami peruntukan dan istilah akta tersebut.

Sebagai sebahagian daripada usaha untuk merancakkan persekitaran memulakan perniagaan, PEMUDAH juga telah membangunkan sistem rujukan satu nombor tunggal(MyCoID) tahun lepas bagi membolehkan perkhidmatan diuruskan secara dalam talian.

Perkhidmatan tersebut merangkumi carian nama, permohonan nama syarikat, pemerbadanan syarikat dan pendaftaran serentak dengan lima agensi dan menyerah simpanan dokumen pasca pemerbadanan.

No comments:

Post a Comment