Tuesday, February 21, 2012

Kerajaan Terengganu Lulus Peruntukan Segera Baiki Jalan Jertih-K.Terengganu

Kerajaan Terengganu meluluskan peruntukan segera berjumlah RM800,000 bagi membaiki dan menaik taraf jalan berhampiran Kampung Gong Penaga di Km 10, Jalan Jertih-Kuala Terengganu.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said berkata peruntukan itu akan disalur kepada Jabatan Kerja Raya bagi melebar dan menurap jalan di kawasan berkenaan.

Ini adalah tanda keprihatinan kerajaan negeri terhadap kebajikan rakyat, katanya kepada pemberita selepas berjumpa dengan pengerusi dan anggota jawatankuasa kemajuan dan keselamatan kampung daerah Besut, di Jerteh.

Jalan sepanjang 200 meter di kampung itu baru dinaik taraf tahun lepas, namun mengalami kerosakan teruk akibat dinaiki air sehingga menyebabkan berlaku banyak kemalangan termasuk mengorbankan dua nyawa bulan lepas.

Sementara itu, Ahmad berkata kerajaan juga telah meluluskan peruntukan sebanyak RM10.8 juta bagi membina lebuh raya yang akan menghubungkan pekan Keruak, Hulu Besut ke Kampung Subhanallah di sempadan Terengganu-Kelantan, menghala ke Gua Musang.

No comments:

Post a Comment