Dikelompokkan sebagai orang kelainan upaya (OKU), jelas bukan penghalang sekumpulan penduduk di Taman Rahmat, Pulau Kerengga di Marang untuk mengendalikan koperasi sehingga muncul antara 10 yang terbaik di Terengganu.
Pengiktirafan daripada 400 koperasi di seluruh negeri itu membolehkan Koperasi Tongkat Putih Taman Rahmat menerima ganjaran RM10,000 daripada kerajaan negeri.
Pengerusi koperasi, Tahir Musa, yang cacat penglihatan berkata tidak ada masalah baginya mengendalikan urus niaga di koperasi tersebut kerana beliau berupaya mengenal pasti barangan dan harganya.
"Selain itu, kami turut dibantu oleh anak-anak yang sempurna tetapi dalam banyak urusan saya lakukan sendiri termasuk membuat laporan bulanan dalam tulisan braille," katanya ketika ditemui di sini.
Bermodalkan RM3,000, koperasi yang dibuka Mei lepas itu mencatatkan peningkatan jualan setiap bulan sekalipun menjual barangan pada harga paling murah berbanding kedai runcit di kawasan sekitar.
Selain barangan runcit, koperasi itu yang dianggotai 15 penduduk Taman Rahmat turut menjual produk kraf tangan yang dihasilkan golongan istimewa di taman perumahan tersebut.
Kata Tahir, selain menjadi tumpuan golongan OKU yang tinggal di situ, koperasi tersebut turut dikunjungi penduduk kawasan sekitar.
"Penduduk di taman ini rata-rata golongan OKU termasuk ada yang cacat anggota badan dan kami berusaha untuk meningkatkan taraf hidup tanpa terlalu bergantung kepada bantuan kerajaan," kata Tahir yang juga pengerusi jawatankuasa penduduk taman itu.
Katanya, mereka kini dalam proses mengembangkan perniagaan menerusi bantuan RM5,000 yang diterima daripada Suruhanjaya Koperasi Malaysia.
"Kami yakin akan dapat meningkatkan perniagaan dan juga menambah anggota koperasi," katanya.
No comments:
Post a Comment