Barisan pemenang acara ujian masa Kelas B Elit Lelaki bergambar bersama pada majlis penyampaian pingat di Putrajaya semalam.
Malaysia menambah sebutir lagi kilauan perak pada hari terakhir Kejohanan Lumba Basikal Para Asia 2012 (APC 2012) di Putrajaya semalam.
Impian kombinasi Mohd. Khairul Hazwan Wahab dan Khairul Naim Azhar yang jelas begitu berazam untuk mengucup pingat emas ternyata tidak kesampaian apabila mereka sekali lagi terpaksa berpuas hati dengan kilauan perak.
Kelmarin, mereka dikecewakan dalam acara lebuh raya Kelas B Elit Lelaki dan kali ini menerusi acara ujian masa Kelas B Elit Lelaki.
Pasangan Malaysia itu hanya mampu merakam masa 28 minit 5.611 saat untuk menyambar kilauan perak.
Sama seperti ulangan skrip kelmarin, pingat gangsa diraih oleh pelumba Malaysia - Mohd. Yusaini Yusop dan Mohd. Nur Syafiq Suhaimy yang keciciran 1:56s daripada rakaman masa pemenang pingat emas acara tersebut.
Kekentalan kombinasi pelumba Korea Selatan, Kim Jong Giu dan Kong Minwoo menyaksikan mereka merangkul pingat emas peribadi kedua apabila berjaya mencatat perbezaan masa 1:43s berbanding kayuhan pelumba tuan rumah.
Kilauan pingat perak tersebut ternyata adalah satu-satunya medal diraih pelumba Malaysia pada kejohanan dua hari itu yang melabuhkan tirai semalam.
PAC 2012 adalah acara pembuka kepada Kejohanan Lumba Basikal Asia 2012 (ACC 2012) yang akan memulakan aksi di Velodrom Cheras bermula hari ini.
No comments:
Post a Comment