Wednesday, February 8, 2012

RM100 Juta Untuk Kerja Membina, Menaiktaraf Jalan Negeri

Lebih RM100 juta diperuntukkan Kerajaan Negeri tahun ini untuk kerja-kerja pembinaan jalan baru, melapis jalan sedia ada dan menaik taraf semua jalan agar mencapai tahap ditetapkan di seluruh Terengganu.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, daripada jumlah terbabit sejumlah RM58 juta peruntukan disalurkan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) dan RM38 juta diperuntukkan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT).

Menurutnya, daripada jumlah itu juga kira-kira RM3.25 juta adalah untuk kerja pembinaan jalan baru, melapis dan menaik taraf jalan di empat Dun di Kemaman yang membabitkan peruntukan sebanyak RM1 juta untuk Dun Kemasik dan masing-masing RM750,000 untuk tiga lagi Dun iaitu Kijal, Chukai dan Air Putih.

“Sebagaimana lawatan saya di Marang semalam (kelmarin), di Kemaman juga kita luluskan peruntukan untuk jalan sebanyak RM750,000 untuk setiap Dun tetapi bagi Dun Kemasik diberi tamba-han peruntukan sebanyak RM250,000 lagi menjadikan peruntukannya berjumlah RM1 juta.

“Sesi lawatan kerja saya ke setiap daerah ini untuk melihat dan meluluskan peruntukan pembinaan jalan baru, melapis jalan sedia ada dan menaik taraf jalan agar ia mencapai tahap yang ditetapkan iaitu sekurang-kurangnya mempunyai 4.2 meter lebar,” katanya kepada pemberita ketika turun padang meninjau keadaan jalan dan tapak projek pembangunan di sekitar Kemaman, semalam.

Turut serta dalam tinjauan itu ialah Adun Kemasik, Ir Rosli Othman; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Datuk Mat Razali Kassim; Pegawai Daerah Kemaman, Mohamad Kamil Othman dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kemaman, Mustafar Khalid.

Ahmad Said berkata, dalam tinjaun berkenaan beliau turut berkesempatan melihat kerja pembinaan longkang yang diluluskan dua tahun lalu.

Bagaimanapun peruntu-kan untuk pembinaan projek longkang lain di Kemaman untuk tahun ini perlu dikaji terlebih dahulu.

Sementara itu, Menteri Besar turut meminta JKR agar segera menyelenggara Jalan Jerangau-Jabor dan Jalan Ibok-Seri Bandi yang mengalami kerosakan teruk selepas musim tenkujuh baru-baru ini.

“Kita banyak menerima aduan menerusi SMS (khidmat pesanan ringkas) dan sebagainya daripada orang ramai mengenai kerosakan jalan-jalan berkenaan kerana biasalah selepas banjir, hujan lebat banyak jalan rosak,” ujarnya.

Dalam lawatan itu, Ahmad Said turut melawati tapak permahan untuk 500 unit rumah kos rendah di Teluk Kalong, sistem longkang dan perparitan di sekitar Kemaman dan projek pembangunan Bandar Baru Kijal.

Turut dilawati, bangunan kedai di Kemasik, jalan di Meraga Beris, projek naik taraf Masjid Ar Rahman Bukit Kuang serta Hospital Kemaman.

Sinar Harian & Teganukita

No comments:

Post a Comment