Friday, February 10, 2012

Terengganu Perlu Gunakan Peluang Projek Baru Skuasy CIMB-SRAM

Memasuki tahun ketujuh pembabitan CIMB sebagai rakan sukan kepada Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM), usaha pembangunan sukan skuasy tanah air terus diperkasakan lagi dengan pengenalan dua projek terbaru iaitu 'Program Pembangunan Skuasy Remaja Negeri' dan 'Projek 100'.

Institusi perbankan negara itu menerusi Yayasan CIMB memberikan sokongan tidak berbelah sejak 2006, menyokong SRAM dengan jutaan ringgit untuk penganjuran beberapa kejohanan bertaraf dunia di samping komitmen membangunkan sukan teras negara itu di peringkat akar umbi.

Ketika sirkit remaja kebangsaan mula dianjurkan pada 2006, ia hanya menarik penyertaan 120 pemain tetapi selepas tujuh tahun berlalu, jumlah itu kini meningkat kepada 700 pemain untuk kesemua enam kategori (Bawah 9, 11, 13, 15, 17 dan 19 tahun).

Di bawah Program Pembangunan Skuasy Remaja Negeri, setiap persatuan negeri akan disalurkan peruntukkan RM10,000 bagi memulakan inisiatif sendiri mencari bakat-bakat baru di peringkat akar umbi, khususnya pada usia seawal tujuh tahun untuk diasah.

Presiden SRAM, Datuk Syed Mustaffa Syed Ali berkata, dana bagi tujuan itu diperuntukkan menerusi pengurangan jumlah sirkit remaja kebangsaan dari tiga seperti asalnya kepada hanya dua tahun ini.

"Saya yakin inisiatif ini akan membantu negeri seperti Terengganu memantapkan lagi mutu pemain mereka," katanya pada penyampai sijil pengiktirafan pencapaian cemerlang kepada pemain di Dewan Perdana, Majlis Sukan Negara di Bukit Jalil semalam.

Sijil disampaikan oleh Ketua Pemasaran dan Komunikasi Kumpulan CIMB, Effendy Shahul Hamid.

No comments:

Post a Comment