Tuesday, March 27, 2012

24 Nelayan Asing Ditahan Ketika Curi Ikan

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) berjaya menahan dua bot asing bersama 24 orang awak-awak yang menangkap ikan secara haram di perairan Malaysia kira-kira 65 batu nautika dari Kuala Kemaman, semalam.

Kehadiran bot yang mencurigakan itu dikesan kira-kira pukul 2 petang oleh Kapal Maritim Langkawi yang sedang melakukan rondaan di kawasan berkenaan.


Ketua Penguat Kuasa Maritim Terengganu, Kapten Maritim Adam Aziz berkata, ketika kejadian, kedua-dua bot dari Vietnam itu menyamar menggunakan nombor pendaftaran nelayan tempatan dan mengibarkan bendera Malaysia bagi mengaburi pihak berkuasa.

"Semasa melakukan rondaan kita mendapati kedua-dua bot ini seolah-olah berada dalam keadaan mencurigakan dan hasilnya kedua-dua bot ini disyaki menjalankan aktiviti menangkap ikan dengan menggunakan kaedah Pukat Tunda Ganding.

"Kedua-dua bot ikan Kelas C2 itu dibawa ke Pangkalan Maritim Kemaman dan hasil siasatan bot TRF 819 mempunyai 20 orang awak-awak manakala TRF 820 mempunyai empat awak-awak sahaja,” katanya di Kemaman hari ini.

Adam berkata, kesemua awak-awak yang ditahan tidak mempunyai dokumen pengenalan diri dan permit kerja yang sah dari Ketua Pengarah Perikanan Malaysia selain kedua-dua bot itu juga tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan yang sah.

No comments:

Post a Comment