Friday, March 30, 2012

Ahmad Said Nasihat Agar FAS Tegur Penyokong Sendiri

Insiden penyokong Singapura mengeluarkan kata-kata hina bersifat perkauman ke atas pemain import Terengganu, Francis Forkey Doe amat mengecewakan kepimpinan tertinggi negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said ketika ditemui, melahirkan rasa kurang senang dengan sikap penyokong negara jiran itu yang bertindak demikian ketika perlawanan suku akhir kedua Piala FA menentang Lions XII di Stadium Jalan Besar, Singapura, Selasa lalu.



Beliau berkata ia tidak melambangkan semangat kesukanan dan meminta Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) menegur tindakan penyokong-penyokong pasukan bola sepak mereka agar tidak mengulanginya pada masa depan.

"Mengapa nak membabitkan warna kulit, hitam atau putih? Saya rasa cacian yang dibuat itu hanya mahu memberi tekanan kepada pemain sahaja, namun akibatnya boleh menyebabkan perbalahan ramai pihak, " katanya.

Sementara itu tiada drama berpanjangan atau sebarang tindakan daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) apabila badan induk bola sepak negara itu menerima permohonan maaf Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) atas penghinaan berunsur perkauman is Forkey Doe.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad berkata, isu itu telah diselesaikan secara baik antara dua pihak dan tidak perlu dipanjangkan. ''FAM telah menghantar surat pada pagi ini (semalam) kepada FAS meminta penjelasan situasi sebenar yang berlaku kepada Francis Forkey.

''Kemudian, saya mendapat panggilan daripada Setiausaha Agung FAS, Winston Lee yang memohon maaf atas insiden itu dan memberitahu apa yang berlaku di luar kawalan mereka.

''Saya mewakili FAM telah menerima permohonan maaf dan tidak berhasrat melakukan apa-apa tindakan susulan," katanya ketika dihubungi, semalam.

No comments:

Post a Comment