Monday, March 5, 2012

Ahmad Said - TSG Hasrat Cari Pelumba Skil Pendakian Bukit


Kerajaan negeri Terengganu berhasrat mencari pelumba dari negara luar yang mempunyai kepakaran dalam skil pendakian bukit untuk memantapkan pasukan Terengganu Cycling Team (TSG) pada Le Tour de Langkawi (LTdL) edisi tahun depan.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said berkata pihaknya sedang mengenal pasti beberapa pelumba antaranya dari negara Venezuela yang dilihat mempunyai kelebihan dalam kayuhan pendakian untuk menyertai pasukan TSG.

Beliau berkata ia berikutan pasukan TSG banyak kehilangan markah semasa kayuhan pendakian dan berharap kemasukan pelumba asing mampu membantu pasukan TSG yang rata-ratanya terdiri dari anak jati Terengganu.


"Kita akan mencari Raja Bukit bagi memantapkan lagi pasukan ini di masa akan datang. Saya harap dengan penyertaan pelumba dari luar negara ini, TSG mampu menyaingi pasukan yang lain," katanya kepada pemberita di Kuala Terengganu, semalam.

Mengulas mengenai pencapaian pelumba TSG dalam saingan LTdL 2012, beliau melahirkan rasa puas hati dengan pencapaian yang ditunjukkan pasukan TSG yang berjaya menaiki podium dan mampu memberi saingan kepada pelumba luar negara.

Katanya beliau berbangga apabila pelumba TSG, Mohd Harrif Salleh menjadi pelumba terbaik Malaysia setelah menduduki tempat kedua pada peringkat kelapan dari Pekan ke Chukai, Kemaman pada Jumaat.

 Pelumba berusia 24 tahun itu menamatkan saingan sejauh 100.8km di belakang pemenang peringkat, Andrea Guardini daripada pasukan Farnese Vini-Selle Italia.

Malah kejayaan pasukan TSG berterusan apabila perlumbaan peringkat kesembilan dari Kemasik ke Kuala Terengganu sejauh 165.7km semalam memperlihatkan gandingan mantap pasangan adik beradik, Mohd Zamri Salleh dan Mohd Harrif muncul antara pelumba terbaik tempatan yang berjaya menamatkan perlumbaan dalam kelompok 10 terbaik.

Mohd Zamri menamatkan perlumbaan di tempat kelapan manakala Mohd Harrif yang lebih terkenal sebagai pakar pecut menamatkan saingan di petak ke-10.

No comments:

Post a Comment