Monday, March 12, 2012

Bermalam Dalam Lokap Gara-Gara Ejek Polis

Aksi berani dan biadap seorang pelajar kolej melanggar sekatan jalan raya dan mengejek polis membawa padah apabila dia terpaksa bermalam di dalam lokap di Kuala Terengganu kelmarin.

Pelajar berusia 19 tahun itu dipercayai sudah lama menjadikan laluan utama jalan Kuala Terengganu-Kuala Berang sebagai tempat melakukan aksi berbahaya bersama kumpulannya.


Bagaimanapun, tindakan berani pelajar itu merempuh sekatan dan motosikal anggota trafik dalam cubaan meloloskan diri daripada dicekup pihak berkuasa tidak berjaya selepas dia ditahan tidak lama selepas itu.

Menurut Pegawai Penguatkuasa Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu, Inspektor Mohd Nizam Hanafi berkata, pelajar itu antara lebih 500 penunggang motosikal yang ditahan dalam operasi bersepadu di sekitar Jalan Wakaf Beruas, Durian Burung, Padang Midin dan Pantai Batu Buruk.

Katanya, operasi bermula jam 4 petang dan berakhir jam 12 malam itu dijalankan bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

“Dalam operasi itu, 262 saman dikeluarkan polis membabitkan pelbagai kesalahan, manakala 50 saman lagi dikeluarkan JPJ selain menyita sebuah motosikal.

“Malah, ujian saringan awal air kencing dijalankan mendapati empat lelaki positif dadah jenis methamphetamine sebelum semuanya ditahan untuk tindakan lanjut, “ katanya.

Sementara itu, cermin kenderaan milik petugas stesen TV9 pecah selepas beberapa kumpulan samseng jalanan bertindak ganas melontarkan batu ke arah kenderaan berkenaan.

Menurutnya, kejadian berlaku jam 7.30 malam ketika menuju ke arah pusat bandar dari Padang Midin.

No comments:

Post a Comment