Monday, March 12, 2012

Piala FA - Hanya Tiga Langkah Lagi Untuk Terengganu Pertahan Kejuaraan


Hanya  tiga langkah lagi yang memisahkan Terengganu daripada misi mempertahankan kejuaraan Piala FA apabila berjaya menempatkan diri dalam kelompok lapan pasukan terbaik musim ini.

Turun dengan reputasi sebagai juara bertahan, skuad kendalian Mat Zan Mat Aris itu terpaksa bermandi peluh sebelum berjaya menyingkirkan juara dua kali, Perak 1-0 pada aksi kedua kelmarin.


Jaringan kemenangan menerusi Ashaari Shamsuddin itu jelas melegakan Mat Zan yang turut menyifatkan percaturannya pada aksi di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu itu menjadi. "Kami bertemu pasukan berbeza pada setiap perlawanan dan sudah pasti corak permainan kami juga perlu diubah," kata Mat Zan kepada Kosmo! semalam.

Pada perlawanan itu, Mat Zan menggunakan lima pemain tengah dengan pemain import dari Brazil, Erison Da Silva lebih berperanan sebagai pemain tengah bertahan untuk berada di belakang empat pemain lain.

Penjaring terbanyak Terengganu, Francis Forkey Doe pula dibiarkan berseorangan di hadapan dengan dua pemain pertahanan terpaksa mengawalnya, sekali gus membuka lebih banyak peluang pemain lain melancarkan gerakan.

"Kalau dilihat, serangan bukan sahaja dibuat oleh Doe tetapi Ashaari dan Abdul Manaf juga memainkan peranan sama menerusi gerakan dari sebelah tepi.

"Di sini kita boleh lihat semua pemain tengah termasuk Ismail Faruqi dan Syukur Jusoh mempunyai peluang untuk menggerakkan bola dengan dibantu dua pemain pertahanan kiri dan kanan.

"Hasilnya, kami berjaya menjaringkan satu gol dan jaringan itu sudah cukup untuk melayakkan kami ke suku akhir," ujarnya lagi.

Mengenai penampilan pemain pertahanan muda, Muslim Ahmad yang diberi tanggungjawab sebagai kapten pasukan, Mat Zan mengakui pemain muda itu mempunyai karakter yang cukup matang di atas padang. Jelasnya, ketiadaan Marzuki Yusof yang masih dibelenggu masalah kecederaan berjaya diisi dengan baik oleh Muslim termasuk memegang watak sebagai kapten.

 "Perak merupakan pasukan yang hebat dan mereka telahpun menewaskan kami pada perlawanan pertama Liga Super, Januari lalu. "Jadi, kemenangan ini bukan sahaja membawa kami ke suku akhir tetapi turut menebus dendam ke atas kekalahan di Ipoh lalu," katanya.

Ditanya mengenai pertembungan menentang Lions XII pada aksi suku akhir nanti, Mat Zan menjelaskan pasukan dari selatan itu merupakan pasukan paling meningkat naik ketika ini. "Ia adalah tugasan paling getir buat kami kerana Singapura mempunyai barisan pemain yang baik," katanya.

Kosmo

No comments:

Post a Comment