Friday, March 16, 2012

Jangan Baling Objek Ke Padang - Che Mat Jusoh

“Jaga tingkah laku dan jaga nama baik pasukan negeri.”

Itu peringatan yang disuarakan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Che Mat Jusoh kepada penyokong skuad Penyu menjelang perlawanan kedua Kumpulan F menentang kelab Hong Kong, Kitchee FC dalam aksi Piala AFC Selasa ini.

Menurut Che Mat, sebarang perbuatan ataupun tindakan tidak terkawal yang dilakukan penonton tuan rumah seperti membaling objek ke padang hanya akan memberi kesan buruk kepada PBSNT.

Katanya, PBSNT boleh dikenakan denda oleh AFC sebanyak USD5,000 (RM15,915) bagi setiap objek yang dilemparkan ke padang dan situasi itu jika berlaku pastinya merugikan bola sepak Terengganu.

“Piala AFC merupakan kejohanan berprestij dan atas sebab itu, pihak penganjur menetapkan peraturan ketat kepada setiap tuan rumah yang menganjurkan perlawanan ini.

“Kawalan ketat oleh pihak polis bersama pasukan keselamatan juga akan diadakan di setiap pintu masuk stadium bagi memastikan penonton tidak membawa sebarang objek berbahaya,” katanya selepas mengadakan taklimat khas kepada media di pejabat PBSNT di Kuala Terengganu semalam.

 Justeru, Che Mat berharap para penonton dapat memberikan kerjasama dalam memastikan kelancaran perlawanan selain menjaga nama baik pasukan dan negeri.

“Kita tidak mahu hanya kerana perkara kecil sebegini pihak persatuan atau kerajaan negeri yang terpaksa tanggung. Saya hormati kehadiran penonton kerana kejayaan pasukan negeri banyak didorong oleh sokongan daripada mereka,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment