Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu (JHEAT) memadang serius masalah kurangnya fahaman agama Islam terutama berkaitan akhlak, akidah dan ibadah di kalangan Orang Kelainan Upaya (OKU) pendengaran.
Pesuruhjaya JHEAT, Mohd Rozali Salleh, berkata pihaknya kecewa dan sedih kerana terdapat sebilangan besar golongan itu tidak memahami secara mendalam apa itu sebenarnya Islam.
Katanya, mereka terlalu cetek ilmu agama sehingga ada di antara mereka menganggap Allah itu Raja, Rasullulah adalah Permaisuri dan orang ramai pula adalah anak.
“Masalah seumpama ini berlaku mungkin disebabkan kurangnya pendedahan dan pengisian berkaitan agama Islam berbanding orang-orang biasa,” katanya kepada pemberita selepas berucap pada Kem Ibadah OKU (Pendengaran) di Hotel Tanjung Vista, Kuala Terengganu, semalam.
Majlis perasmian penutup kem itu disempurnakan Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam), Datuk Senara Muda Mazlan Hashim.
Hadir sama Timbalan Pesuruhjaya (Operasi) JHEAT, Omar Musa, Imam Besar Terengganu, Ustaz Aizi Saidi dan beberapa pegawai kanan kerajaan negeri.
Seramai 50 peserta OKU pendengaran dari pelbagai sekolah pendidikan khas dan Persatuan Kebajikan Pekak Terengganu hadir mengikuti kem selama tiga hari dan berakhir semalam.
Kem anjuran JHEAT dengan kerjasama Maidam itu bukan saja mampu memberi kesedaran berkaitan pengetahuan dan penghayatan agama Islam terhadap OKU malah dapat menyemai perasaan supaya sayang serta mencintai Allah.
Mohd Rozali turut memberitahu bahawa pihaknya akan memperbanyakan kursus berkaitan pengisian agama Islam di kalangan OKU supaya akidah mereka tidak terus terpesong.
Teganukita
No comments:
Post a Comment