Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata keputusan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil mengundurkan diri sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, adalah satu keputusan yang tepat dan betul.
Perdana Menteri berkata pengunduran diri itu dilihat sebagai satu pengorbanan demi kepentingan kerajaan dan parti.
"Walaupun setakat ini tiada bukti beliau buat kesalahan dari segi undang-undang, namun sebab isu NFC mengundang pertikaian dan kontroversi, beliau sanggup berundur daripada kerajaan," katanya kepada pemberita sebelum menghadiri majlis tahlil Allahyarham Tun Abdul Razak di Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan, semalam.
Shahrizat dalam sidang akhbarnya di Kuala Lumpur semalam mengumumkan pengundurannya sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat apabila tempoh pelantikannya sebagai Anggota Dewan Negara tamat pada 8 April ini.
Bagaimanapun, Shahrizat berkata beliau akan kekal sebagai Ketua Wanita Umno dan Ketua Wanita Barisan Nasional (BN).
Ditanya kedudukan Shahrizat dalam parti, Perdana Menteri berkata jawatan dalam parti adalah sesuatu yang terpisah daripada jawatan dalam kerajaan.
"Ini kerana kes NFC (Perbadanan Fidlot Nasional) mencetuskan pertikaian jawatan beliau sebagai menteri dalam kerajaan," katanya.
Perdana Menteri juga menyarankan supaya anggota-anggota parti terutamanya Wanita Umno terus memberi sokongan dan kerjasama kepada Shahrizat selaku ketua pergerakan itu.
"Beliau telah memberi komitmen untuk memimpin Wanita dan menjadikan pergerakan Wanita sebagai jentera yang penting dalam pilihan raya," katanya.
Ketika ditanya mengenai pengganti Shahrizat dalam jawatan Kabinet itu, Perdana Menteri berkata perkara itu akan ditentukan kemudian kerana tempoh Shahrizat sebagai menteri Kabinet masih berbaki beberapa minggu lagi.
Sementara itu, Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohd Shafiee Apdal berkata langkah yang diambil oleh Ketua Wanita itu baik dan tepat pada masanya demi menjaga kepentingan kerajaan Barisan Nasional (BN) dan juga parti.
"Kita sangat menghargai keputusan yang telah dibuat oleh Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil. Ianya adalah baik dan tepat pada masanya untuk pastikan kejayan kerajaan dan Barisan Nasional (BN).
Dalam pada itu, Mohd Shafiee meminta agar golongan wanita tidak berasa terjejas dengan pengunduran Shahrizat selaku menteri kerana kerajaan memberi jaminan tidak akan mengabaikan kepentingan dan sumbangan wanita kepada pembangunan negara.
Ketua Penerangan parti, Datuk Ahmad Maslan pula meminta pihak pembangkang supaya tidak membuat kesimpulan mengelirukan berikutan pengumuman pengunduran Shahrizat.
Katanya tindakan Shahrizat merupakan satu pengorbanan yang wajar kerana beliau telah mendahulukan kepentingan pandangan umum daripada kepentingan jawatannya sebagai menteri.
Beliau yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata walaupun kes berkenaan Perbadanan Fidlot Nasional (NFCorp) masih disiasat, beliau mahu persepsi rakyat diperbetulkan dalam isu berkaitan.
No comments:
Post a Comment