Saturday, March 24, 2012

Sultan Terengganu Mahu Umat Islam Amalkan Hidup Bersaudara

Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin mahu umat Islam di negeri itu mengamalkan hidup bersaudara sebagaimana dituntut agama.
Sehubungan itu, titah baginda jawatankuasa masjid seluruh negeri perlu memainkan perananan dalam memperkukuhkan persaudaraan di kalangan umat Islam.


"Masjid hendaklah dijadikan sebagai tempat masyarakat memupuk persaudaraan dan mendalami ilmu agama," titah baginda ketika merasmikan Masjid Kampung Alur Lik, di Setiu, semalam.

Pada majlis itu baginda turut berkenan menyampaikan tauliah kepada pendaftar, jurunikah serta imam masjid mukim bagi daerah Setiu. Turut hadir pada majlis itu Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said dan Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) Mohd Rozali Salleh.

Sultan Mizan berkata baginda bersyukur kerana umat Islam di negeri itu masih lagi mengamalkan ajaran Islam di dalam kehidupan seharian mereka.

 "Amalan gotong-royong, muafakat dalam kenduri-kendara, budaya berat sama dipikul, ringan sama dijinjing masih dipraktikkan. Beta berharap amalan baik seperti ini hendaklah diteruskan," titah baginda.

Baginda mengharapkan penduduk Kampung Alur Lik agar dapat menjaga masjid baru itu dengan sempurna serta mengimarahkan masjid dengan pelbagai program bermanfaat.

Sempena perasmian masjid itu juga Sultan Mizan berkenan menamakannya dengan nama Masjid Al-Firdaus, Kampung Alur Lik. Masjid Al-Firdaus mula dibina pada 2008 dan siap sepenuhnya 2010 dengan kos RM1.8 juta serta mampu menampung sehingga 500 jemaah pada satu-satu masa.

No comments:

Post a Comment