Sunday, March 11, 2012

T-Team Menang Bukan Kerana Nasib - Yunus

Faiz (kanan) menjaringkan gol kemenangan T-Team ke atas Pahang di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terenggan kelmarin. T-Team menang 3-2. 

Tiada apa yang lebih membanggakan jurulatih T-Team, Yunus Alif selain daripada membawa pasukan itu melangkah buat pertama kalinya ke suku akhir Piala FA musim ini.

Turun dengan reputasi kurang memuaskan dalam sejarah kejohanan kalah mati itu, T-Team bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Pahang 3-2 pada aksi pusingan kedua kelmarin. Kejayaan berada dalam slot lapan pasukan terbaik itu turut menebus kekecewaan mereka selepas terkandas seawal pusingan pertama pada kempen musim lalu.


“Kami tidak pernah pergi sejauh ini dalam kempen Piala FA dan sudah pasti kemenangan ini sesuatu yang perlu saya banggakan.

“Pada masa sama, ini adalah satu-satunya kejuaraan yang hampir dimiliki dan saya hanya berharap kami mampu melangkah jauh,” katanya semalam.

Pada aksi di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu itu, T-Team bangkit sebanyak dua kali untuk mengikat kedudukan 2-2 sebelum pemain lincah, Faiz Subri menjaringkan gol kemenangan pada masa kecederaan babak kedua.

Terdahulu, Azrul Hazran menghadiahkan gol pertama T-Team sebelum bekas bintang Selangor, Fadzli Saari melakukan sepakan gunting untuk gol kedua tuan rumah.

“Aksi separuh masa pertama agak seimbang. Kami menguasai permainan menerusi beberapa percubaan cantik.

“Memasuki babak kedua, pelawat berjaya menjaringkan gol pendahulu, sekali gus mengubah tempo permainan sehingga memaksa empat gol dijaringkan dalam tempoh 20 minit,” katanya.

Dalam pada itu, Yunus turut menolak faktor nasib sebagai punca mereka mara ke suku akhir, sebaliknya mengakui para pemainnya telah memberikan aksi terbaik.

Katanya, Fadzli sendiri telah memberi sumbangan terbesar kepada pasukan pada perlawanan itu menerusi beberapa gerakan dan jaringan cantik yang dilakukannya.

“Ada beberapa pemain yang mungkin tidak mencapai prestasi terbaik tetapi mereka tetap bekerja keras,” jelas Yunus.

Kosmo

No comments:

Post a Comment