Tuesday, April 24, 2012

Pemilikan Ekuiti Bumiputera Meningkat Kepada 23 Peratus - PM

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semalam mengumumkan peningkatan pemilikan ekuiti bumiputera kepada 23.09 peratus bernilai RM167.7 bilion pada 2010 berbanding dengan tahun 2008 pada 21.9 peratus bernilai RM127.4 bilion.

Selain itu, beliau turut mengumumkan kolaborasi Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) dengan dua syarikat induk di bawah program TeraS iaitu Ahmad Zaki Resources Bhd dan MITC Ancasa Hotel (M) Sdn Bhd, yang bakal melibatkan pemberian kontrak pembekalan bernilai RM500 juta kepada syarikat-syarikat bumiputera dalam masa dua tahun.


Najib, yang juga Menteri Kewangan berkata peningkatan ekuiti tersebut adalah berdasarkan pelaksanaan program untuk memperkasakan agenda bumiputera sebagai agenda utama negara yang dilaksanakan kerajaan.

Beliau berkata dasar itu telah dapat mengembangkan peranan agensi-agensi Amanah Bumiputera dan juga badan-badan yang layak diiktiraf sebagai bumiputera seperti Lembaga Tabung Haji, Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan juga kumpulan Permodalan Nasional Bhd (PNB).

"Ini semua telah menambah kepada ekuiti tambahan kepada bumiputera dengan peningkatan begitu baik sekali, kita juga melihat kemampuan syarikat-syarikat bumiputera kian bertambah dan mereka juga ada menyumbang kepada peningkatan peratusan syarikat bumiputera," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Agenda Bumiputera yang berlangsung selama kira-kira dua jam di Kuala Lumpur semalam.

No comments:

Post a Comment