Pemimpin Pakatan Rakyat (PR) diingatkan tidak memberi sebarang komen berkait dengan pembahagian kerusi antara gabungan perikatan itu sebelum pembahagian kerusi dimuktamadkan.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia amat penting bagi memastikan tidak berlaku salah faham dalam sebarang komen yang dikeluarkan memandangkan proses pembahagian kerusi antara parti masih lagi berjalan.
Menurutnya, langkah terbaik adalah tidak memberikan sebarang ulasan sehingga keputusan penuh soal pengagihan kerusi dibuat.
“Setakat ini pembahagian sedang berjalan di seluruh negara dan ia berjalan secara aman serta teratur. Kita jangkakan ia akan dimuktamadkan dalam masa terdekat.
"Setakat ini beberapa negeri seperti Sabah, Pulau Pinang, Perak dan Kedah masih belum selesai.
“Kebanyakannya sudah selesai, cuma satu, dua kerusi yang masih belum diselesaikan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas selesai menyampaikan ceramah di Kampung Tok Jembal, Gong Badak di sini, semalam.
Anwar berkata demikian sehari selepas kepimpinan PKR Terengganu memberitahu bahawa hanya mampu menerima keputusan Pas memberikan lima kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) dan dua kawasan Parlimen untuk ditandingi pada PRU13.
Pengerusinya Azan Ismail berkata, sekiranya PKR sudah dianggap sebagai pengemis, parti itu akan menerima apa sahaja keputusan berhubung jumlah kerusi
untuk ditandingi.
Ketika diminta mengulas mengenai pandangan sesetengah pihak yang menyatakan pimpinan Pas dan PKR yang tidak seakrab dulu, Anwar bagaimanapun tidak bersetuju.
Katanya, dia tidak mempunyai sebarang masalah dan hubungannya dengan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat serta Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berlangsung seperti biasa, malah lebih akrab.
Katanya, perundingan mengenai kerusi dan kenyataan daripada pemimpin bawahan langsung tidak menjejaskan hubungan pimpinan atasan itu.
No comments:
Post a Comment