Sunday, April 8, 2012

APMM Tahan 28 Nelayan Asing, 2 Bot Langgar Peraturan Tangkapan Ikan

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan dua bot bersama 28 orang awak-awak, selepas didapati melanggar peraturan menangkap ikan kira-kira 35 batu nautika timur laut Pulau Tenggol yang terletak di luar pantai Terengganu malam kelmarin.

Dalam kejadian pukul 11 malam itu, kedua-dua bot berkenaan dikesan menggunakan taktik menangkap ikan dengan menunda bot bergandingan.


Ketua penguat kuasa maritim Terengganu, Kapten Maritim Adam Aziz berkata mereka melakukan perbuatan itu untuk mengaut keuntungan dengan lebih cepat tetapi aktiviti itu diharamkan di negara ini kerana ia akan merosakkan terumbu karang dan menjejaskan hasil tangkapan nelayan.
 
"Sebuah bot berpangkalan di Tok Bali, Kelantan dengan nombor pendaftaran KNF 7840 manakala sebuah bot lagi bernombor pendaftaran PAF 4582 berpangkalan di Pahang," katanya kepada pemberita semasa sidang akhbar di Pangkalan Maritim APMM di Teluk Kalong di Kemaman, kelmarin.

 Seramai 18 nelayan asing warga Vietnam berusia lingkungan 27 hingga 48 tahun dari bot KNF 7840 ditahan manakala bot PAF 4582 yang mempunyai 10 nelayan Vietnam berusia sekitar 21 hingga 44 tahun juga turut ditahan, katanya.

No comments:

Post a Comment