Sunday, April 29, 2012

Cadangan Tubuh Kelab Motosikal Pengikut Menteri Besar


Kerajaan negeri bercadang menyatukan semua kelab motosikal di negeri ini di bawah kelab baru yang lebih besar iaitu Kelab Motosikal Pengikut Menteri Besar jika semua program berjalan lancar.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, ia sebagai tanda keprihatinan kerajaan negeri terhadap generasi belia bermotosikal di negeri ini.

"Menerusi kelab baru itu, pelbagai program dapat diatur dengan lebih terancang dan setiap ahli berdaftar akan dibekalkan dengan pelekat rasmi," katanya ketika merasmikan Majlis Ramah Mesra Bersama Belia dan Beliawanis Bermotor di Seri Iman, di Kuala Terengganu malam semalam.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Mazlan Ngah dan Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Rozi Mamat.

Program dua hari itu dijangka menarik kehadiran 4,000 ahli kelab motosikal dari seluruh negeri.

Pada majlis itu, Ahmad Said turut menyerahkan insentif sebagai penghargaan kepada ahli Kelab Motosikal 71 dan meluluskan modal permulaan RM50,000 kepada kelab itu untuk membuka bengkel motosikal bagi memberi lebih banyak peluang pekerjaan kepada mereka.

Dalam pada itu, Rozi ketika ditemui Utusan Malaysia berkata, pendekatan yang digunakan kerajaan negeri itu sejajar dengan hasrat untuk melihat golongan belia di negeri ini menjadi lebih berwawasan dan berdedikasi pada masa depan.

"Malam ini mungkin kita beri (insentif) kepada Kelab 71 dulu. Selepas ini, kelab motor lain termasuk Kelab 69, Benetton dan sebagainya akan menerima insentif itu.

"Kita juga rancang untuk membuat himpunan belia bermotosikal yang lebih besar selepas ini bagi menunjukkan bahawa kerajaan negeri tidak pernah meminggirkan belia bermotosikal," katanya.

Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment