Sunday, April 29, 2012

Hospital Jerteh Sewajarnya Menjadi Hospital Pakar

Dr A Rahman melawat gerai pameran kesihatan yang mengambil dalam Karnival Kesihatan 1 Malaysia Peringkat Negeri di Hospital Besut, semalam
Kerajaan Negeri merayu agar Kerajaan Pusat melalui Kementerian Kesihatan Malaysia segera meluluskan permohonan menaik taraf Hospital Besut menjadi Hospital Berpakar.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dr A Rahman Mokhtar berkata, permohonan itu selaras dengan kehendak penduduk daerah ini agar sebuah hospital yang mempunyai kepakaran tertentu dapat diadakan.

Menurutnya, Kerajaan Negeri memandang berat perkara ini memandangkan penduduk sering merungut kerana kes bersalin terpaksa dirujuk ke hospital di Kota Bharu, Kelantan menyebabkan pengenalan diri bayi dilahirkan berstatus rakyat Kelantan.

"Kerajaan Negeri amat berharap agar permohonan pe-ngambilan balik tapak tambahan Hospital Besut akan mendapat kelulusan kementerian agar cadangan menaik taraf hospital sedia ada dapat direalisasikan sepenuhnya," katanya yang juga Ahli Dewan Undangan negeri (Adun) Kuala Besut.

Beliau mewakili Menteri Kesihatan Malaysia, Datuk Sri Liow Tiong Lai merasmikan Karnival Kesihatan 1 Malaysia Peringkat Negeri Terengganu di Hospital Besut, semalam. Hadir sama, Pengarah Bahagian Perkembangan Perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia, Azmi Shafie dan Pengarah Kesihatan negeri, Dr Anwa Sulaiman.

Sementara itu Azmi memberitahu, kementerian sedang mengkaji permohonan Kerajaan Negeri tersebut bagaimanapun kekurangan doktor pakar di negara ini menjadi penghalang untuk mempercepatkan proses.

A Rahman berkata, dengan adanya tambahan kemudahan seperti Hospital Berpakar dan Klinik Kesihatan ini masyarakat yang tinggal berdekatan dapat menikmati kemudahan berkenaan tanpa bersusah payah ke hospital pakar yang jauh dan memerlukan kos tambahan.

Kata beliau, dalam pada itu Kerajaan Negeri telah mengeluarkan peruntukan sebanyak RM72 juta sejak 2007 sehingga 2011 bagi meningkatkan kemudahan di hospital di negeri ini bagi kemudahan rakyat.

Sinar Harian

No comments:

Post a Comment