Friday, April 20, 2012

Fatehah Tidak Sabar Untuk Bertanding di Olimpik London

Ratu trek berbasikal negara, Fatehah Mustapa berazam untuk menebus kegagalannya pada Kejohanan Berbasikal Dunia 2012 di Melbourne baru-baru ini dengan melakukan kejutan pada Sukan Olimpik 2012 London, Julai depan.

Fatehah, 23, sebelum ini mencatat sejarah baharu sukan negara apabila muncul pelumba wanita pertama layak beraksi pada Sukan Olimpik dalam acara keirin di London nanti.



Meskipun gembira kerana bakal membuat penampilan sulung di pentas Olimpik, pelumba kelahiran Hulu Terengganu itu enggan dibuai mimpi indah dengan pencapaian tersebut, sebaliknya berazam untuk memberi tumpuan kepada misinya mara ke pusingan final acara keirin.

“Saya sedar peluang untuk memenangi pingat dalam acara ini memang sukar, apatah lagi pada penampilan pertama saya di pentas Olimpik ini,” jelas Fatehah pada sidang akhbar bersama atlet Olimpik negara di Bukit Jalil baru-baru ini.

 “Oleh itu saya perlu lebih realistik. Berdasarkan saingan daripada pelumba negara yang lain, saya rasa misi saya kali ini adalah untuk layak ke pusingan final A.

Pada Kejohanan Trek Dunia 2012 di Melbourne awal bulan ini, saya hanya mampu beraksi pada pusingan final B (penentuan 7-12) selepas terkandas pada separuh akhir, jadi saya mahu menebusnya dengan mara ke final A di London nanti,” ujarnya lagi.

Fatehah mendapat slot beraksi pada sukan Olimpik selepas menduduki tempat ke-13 dalam ranking keirin dunia yang dikeluarkan Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI), di bela- kang pelumba China, Guo Shuang (No. 7) dan Lee Wai Sze dari Hong Kong (No. 9).

Hanya dua kuota pelumba terbaik Asia sahaja yang dibenarkan beraksi di Olimpik, namun disebabkan Guo Shuang telah pun mendapat tiket automatik dalam acara pecut dan keirin, jadi slot tambahan tersebut menjadi milik Fatehah.

Prestasi Fatehah mula meningkat setelah berjaya mara ke final Siri Piala Dunia Klasik di Colombia tahun lalu.

Kosmo!

No comments:

Post a Comment