Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bersetuju melaksanakan syor supaya tempoh berkempen untuk pilihan raya umum ke-13 adalah tidak kurang dari 10 hari.
Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, keputusan itu dicapai hasil mesyuarat khas SPR pada Rabu mengenai setiap syor Jawatankuasa Pilihan Raya Khas Parlimen Berhubung Penambahbaikan Proses Pilihan Raya (JPKP).
"Mesyuarat turut menerima supaya proses pelantikan pengerusi, timbalan pengerusi dan anggota SPR dikaji semula secara teliti untuk memberi keyakinan bahawa badan itu benar-benar bebas daripada pengaruh Eksekutif dan Legislatif," katanya dalam kenyataan di Putrajaya semalam.
Beliau berkata, pihaknya juga bersetuju penstrukturan semula badan itu dilaksana dengan memberi kuasa perundangan sewajarnya.
Selain itu, Abdul Aziz berkata, SPR menyambut baik usaha memperkasa kedudukanbadan itu di sisi perundangan serta kedudukan struktur fungsi SPR sebagai sebuah badan bebas yang bertanggungjawab mengendalikan urusan pilihan raya.
Dalam kajian penambahbaikan itu, beliau berkata, sebanyak 22 syor telah dikemukakan untuk dikaji dan diambil tindakan mengikut kesesuaian dan keupayaan.
Tujuh daripada 10 syor akan dilaksanakan termasuk penggunaan dakwat kekal, pengundian awal bagi anggota tentera dan polis, pembersihan daftar pemilih, memansuhkan proses bantahan terhadap kertas pencalonan pada hari penamaan calon dan memberi kemudahan kepada rakyat Malaysia di luar negara yang berdaftar sebagai pemilih untuk mengundi secara pos.
Selain itu, Abdul Aziz berkata, SPR akan mengambil segala tindakan yang perlu secara berterusan bagi memastikan Daftar Pemilih yang bersih sebagaimana yang disyorkan JPKP.
"SPR juga bersetuju untuk bekerjasama secara berterusan dengan agensi lain termasuk Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), polis dan Mimos dalam usaha membersihkan Daftar Pemilih," katanya.
Beliau berkata, untuk pembersihan secara berterusan, SPR akan menjalankan urusan itu berdasarkan Peraturan 10 dan Peraturan 25 Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002.
Mengenai cadangan agar ditubuhkan Jawatankuasa Khas Parlimen bagi mengawasipelaksanaan kerja SPR dan urusan berkaitan daftar pemilih, Abdul Aziz berkata, iabercanggah dengan kedudukan dan kebebasan SPR di bawah Perlembagaan Persekutuan.
Manakala berhubung cadangan pendaftaran secara automatik pula, Abdul Aziz berkata, SPR perlu membuat kajian terperinci dari pelbagai sudut dan implikasi kepada peruntukan Perlembagaan Persekutuan.
"SPR sebagai sebuah badan bebas bertanggungjawab melaksanakan fungsi dantanggungjawabnya berdasarkan tiga fungsi seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
"SPR akan sentiasa melakukan yang terbaik dalam melaksanakan fungsi dan tanggungjawab itu secara adil dan saksama kepada semua pihak yang terlibat dalam pilihan raya," katanya.
No comments:
Post a Comment