Tuesday, April 24, 2012

Hadiah Besar Menunggu Pemenang Pingat Olimpik London


Hadiah lebih besar menunggu atlet Terengganu jika menang pingat di Olimpik London 2012.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said malam kelmarin berjanji kerajaan Terengganu akan mempertimbangkan ganjaran yang lebih baik lagi jika atlet berkenaan berjaya membawa pulang apa saja warna pingat daripada London

Ditanya apa bentuk ganjaran yang bakal menanti atlet berkenaan, Ahmad Said enggan mengulas lanjut, bagaimanapun berjanji akan mempertimbangkan sebarang bentuk ganjaran itu sebagai pengiktirafan kepada kecemerlangan atlet negeri ini.


Untuk memberikan semangat dan galakan kepada atlet Terengganu untuk mereka meraih pingat di sukan kemuncak dunia itu, kerajaan Terengganu malam kelmarin memberikan insentif khas kepada anak-anak negeri itu yang berjaya mewakili negara ke berkenaan.

Setakat ini, seramai lima atlet Terengganu disahkan untuk mewakili negara ke Olimpik iaitu atlet lumba basikal Mohd Azizulhasni Awang dan Fatehah Mustapa (trek), dua atlet memanah iaitu Khairul Anuar Mohamad dan Nurul Syafiqah Hashim manakala Mohamad Azwar Bakar@Ibrahim untuk sukan paralimpik dalam acara ping pong.

Masing-masing menerima insentif RM10,000 seorang daripada Menteri Besar sendiri pada satu majlis yang diadakan Ahad malam. "Kita berharap insentif ini dapat membakar semangat dan memberi dorongan kepada atlet berkenaan untuk memberi persembahan cemerlang pada kejohanan itu nanti," katanya.

Selain itu, kerajaan negeri juga bersetuju untuk membiayai ibu atau bapa kesemua atlet berkenaan bagi mengiringi anak masing-masing sepanjang temasya itu nanti.

“Ini merupakan penghargaan Kerajaan Terengganu tehadap anak negeri ini yang berjaya dengan cemerlang mewakili negara ke Olimpik London 2012.

Duit poket RM10,000 seorang ini merupakan nilai tambah…jumlah ini tidak banyak sebenarnya.

“Tetapi kita berharap insentif ini mampu memberi dorongan kepada anak Terengganu supaya terus cemerlang dan saya berjanji sekiranya mereka memenangi apa jua pingat (di London), selain anugerah oleh Majlis Sukan Negara, kerajaan negeri juga akan memberikan ganjaran setimpal dengan pingat yang bakal mereka perolehi yang tidak perlu saya umumkan sekarang,” katanya pada sidang media sempena Majlis Penyampaian Insentif Khas Olimpian Anak Terengganu London 2012, di Kediaman Seri Iman, Kuala Terengganu.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, teknologi dan Sumber manusia negeri, Ahmad Razif Abd Rahman; Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Rozi Mamat dan Pengarah Majlis Sukan Negeri, Haji Zainal Abidin Hussin.

Selain itu, Kerajaan Terengganu turut bersedia menaikkan insentif kemenangan kepada atlet Sukan Malaysia (Sukma) Ke-15 Pahang jika Terengganu mampu mengekalkan kejuaraan kali keempat berturut-turut dalam temasya sukan yang bermula pada 7 hingga 16 Julai ini.

Pada Sukma Ke-14 Kuala Lumpur tahun lalu, Terengganu dinobatkan juara keseluruhan dan kali ketiga berturut-turut apabila mengumpul 30 emas, sekaligus mengetepikan pencabar terdekat Selangor yang memenangi 26 emas, diikuti Johor 21 emas. Sebelum ini, setiap pemenang pingat emas menerima RM5,000, manakala pemenang pingat perak RM3,000, diikuti pemenang pingat gangsa menerima RM2,000 seorang.

No comments:

Post a Comment