Tuesday, April 24, 2012

Sukma XV - Kenu Dikecualikan Bagi Halang Terengganu Juara Kali Keempat?


Gambar Hiasan - Pasukan kenu wanita Terengganu pada Sukma Melaka
Rajiah, Ratu Kanu Terengganu
Terengganu memenangi sebanyak 12 emas, masing-masing dua perak dan gangsa dalam acara kanu pada Sukan Malaysia di Kuala Lumpur tahun lalu daripada keseluruhan kutipan 50 pingat iaitu 30 emas, lapan perak dan 12 gangsa.

Berikutan itu, jika sukan kanu tidak disenaraikan dalam Sukan Malaysia XV Pahang, ia akan menjejaskan peluang Terengganu mengulangi kejayaannya menjadi juara sukan itu untuk kali ke empat selepas Kuala Terengganu, Melaka dan Kuala Lumpur.


Kerana itu Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said kecewa dengan sikap penganjur Sukma XV yang menggugurkan acara kanu daripada temasya itu, Julai ini.

Katanya, sepatutnya terus dimasukkan sebagai salah satu acara yang dipertandingkan dalam temasya tersebut setiap tahun.


"Saya tidak faham mengapa sukan yang dipertandingkan pada peringkat Sukan SEA tetapi di peringkat Sukan Malaysia tidak diadakan.

"Bagaimana mahu memilih atlet negara untuk menyertai kejohanan antarabangsa jika kanu tidak dipertandingkan pada Sukan Malaysia. Itu yang menghairankan saya," jelasnya.

Katanya, keputusan mengetepikan acara yang sememangnya dikuasai Terengganu itu dianggap tidak rasional ketika negara berusaha melahirkan lebih ramai atlet bertaraf antarabangsa dalam sukan berkenaan.

"Kanu merupakan sukan yang berprestij tinggi dan perlu dipertandingkan dalam setiap acara sukan, jika mahu melahirkan lebih ramai atlet yang berkelayakan dalam sukan itu.

"Ketika kita menjadi tuan rumah Sukan Malaysia, kita juga mempertandingkan sukan berprestij lain seperti judo, renang, lawan pedang dan gimnastik walaupun kita tidak sehebat mana dalam acara itu, namun kita berusaha dan memperoleh pingat dalam acara berkenaan.

"Kalau alasan mereka takut Terengganu menjadi sekali lagi juara Sukan Malaysia buat kali keempat memandangkan atlet kita memang hebat dalam sukan kanu, itu saya tidak tahulah. Mereka perlu jawab sendiri," katanya.

Beliau menyatakan demikian kepada pemberita pada majlis penyampaian insentif khas kepada atlet Olimpik 2012 di Seri Iman Kuala Terengganu, malam kelmarin.

No comments:

Post a Comment