Kira-kira 100 nelayan kawasan Kijal yang menerima bantuan elaun sara hidup bulanan, gembira dengan pemberian bantuan itu secara tunai sekali gus merapatkan hubungan nelayan dengan pemimpin.
Mohd Rosli Sulong, 48, berkata, pemberian secara tunai itu disampaikan pemimpin bagi memberi peluang kepada nelayan sepertinya untuk bertemu dan meluahkan masalah.
Menurutnya, bantuan sara hidup tersebut membuktikan kerajaan sentiasa membantu rakyat yang memerlukan.
“Saya berterima kasih kepada Kerajaan Pusat dan Negeri yang sentiasa prihatin dan peka dengan masalah dihadapi nelayan terutama ketika musim tengkujuh.
“Kami tidak dapat turun ke laut ketika itu sebab ombak besar menyebabkan kami hilang punca pendapatan dan tidak dapat menyara keluarga sepanjang tempoh tersebut,” katanya selepas menerima wang elaun yang disampaikan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said pada
majlis penyampaian bantuan berkenaan yang diadakan di Bangunan Nelayan dekat Kampung Che Wan, Kijal.
Seorang nelayan lain, Abdullah Abdul Rahim, 52, berkata, inisiatif kerajaan yang sentiasa berusaha meningkatkan taraf ekonomi nelayan perlu dihargai dan mereka tidak harus menyalahgunakan bantuan tersebut.
“Kami bersyukur kerana kerajaan mementingkan soal kebajikan rakyat khususnya kaum nelayan yang sentiasa berdepan dengan cuaca tidak menentu untuk turun ke laut bagi mencari nafkah,” katanya.
Bagi Abu Bakar Daud, 60, nelayan di negeri ini seharusnya berterima kasih dengan usaha keras kerajaan bagi membantu golongan nelayan meningkatkan taraf hidup dengan menyediakan pelbagai bantuan.
“Banyak bantuan yang kerajaan berikan seperti subsidi diesel, petrol, peralatan menangkap ikan seperti enjin bot, pukat dan sebagainya. Justeru kita seharusnya menggunakannya bagi terus meningkatkan taraf hidup,” katanya
Sinar Harian
No comments:
Post a Comment