Seorang lelaki kudung kedua kaki yang mengugut membunuh ibu saudara yang memeliharanya sejak kecil dengan parang panjang selepas permintaannya mendapatkan wang tidak ditunaikan, dijatuhi hukuman penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret di Kuala Terengganu, semalam.
Majistret Abdul Hayyi Salim menjatuhkan hukuman itu terhadap Azhar Mohd Noor, 32, dari Kampung Maras, Batu Rakit, selepas tertuduh yang berkerusi roda dan memakai topeng muka serta tidak bermaya kerana menghidap tibi, mengaku bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah
Sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara tidak lebih dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali. Abdul Hayyi memerintahkan tertuduh menjalani hukuman berkuat kuasa daripada tarikh dia ditangkap pada Sabtu lalu.
Mengikut pertuduhan, Azhar didakwa melakukan ugutan jenayah terhadap ibu saudaranya, Midah Said, 58, dengan mengamuk dan merosakkan barangan dalam rumah dengan niat menyebabkan rasa cemas terhadap mangsa di rumahnya di Kampung Maras, Batu Rakit, jam 5.30 petang Sabtu lalu.
Terdahulu, tertuduh mengundang perhatian orang ramai di galeri awam mahkamah, apabila teragak-agak serta menukar pengakuan bersalah dan mohon dibicarakan, sebelum akhirnya mengaku bersalah selepas ditanya Abdul Hayyi.
Malah, tertuduh yang berpakaian lokap warna ungu pada mulanya turut tidak mengakui fakta kes, tetapi selepas itu mengakuinya apabila jurubahasa mahkamah membacakan fakta kes tepat di depannya.
Mengikut fakta kes, ibu saudara tertuduh berada di rumahnya pada hari kejadian, sebelum tertuduh balik ke rumah dan memaksanya memberi sejumlah wang kepadanya.
Sebaik wanita itu memberitahu tiada wang diberi kepadanya, tertuduh mengamuk dengan membaling barang dalam rumah sambil mengangkat sebilah parang panjang di tangan dan mengugut mahu menetak dan membunuh ibu saudaranya itu jika tidak mahu menyerahkan wang.
Bimbang kejadian tidak diingini, mangsa membuat laporan di balai polis, sebelum polis kemudian menahan suspek di rumahnya pada jam 8.40 malam hari kejadian.
Pendakwaan kes itu dijalankan Pegawai Pendakwa Raya, Inspektor Miky Dunstan Muda, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
No comments:
Post a Comment