Mohd Amran Tullah dijatuhkan hukuman kerja khidmat masyarakat selama empat bulan.
Pekerja kontrak pelantar minyak yang menendang isterinya sehingga keguguran, tahun lalu, hanya dikenakan hukuman kerja khidmat masyarakat selama empat bulan atas alasan wanita itu mati dalam kemalangan Februari lalu, selain memikirkan masa depan dua anak mereka.
Hakim Mahkamah Sesyen, Azman Mustapha memerintahkan Mohd Amran Tullah Salleh, 25, melakukan kerja khidmat masyarakat selama empat jam setiap hari dalam tempoh itu, selepas mengambil kira sebarang hukuman lain hanya akan memudaratkan anak mereka.
Ketika membacakan penghakimannya, Azman berkata, Seksyen 313 Kanun Keseksaan mewajibkan hukuman penjara dijatuhkan ke atas Mohd Amran Tullah.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
“Bagaimanapun, selepas mengambil kira fakta mangsa yang juga isteri Mohd Amran Tullah sudah meninggal dunia (akibat kemalangan pada 29 Februari lalu) dan mempunyai dua anak kecil untuk dijaga, saya berpendapat tiada kebaikan sekiranya tertuduh dipenjara.
“Sebaliknya, ia hanya akan memudaratkan anak yang baru kehilangan ibu sekiranya mereka terpaksa berjauhan dengan bapa.
“Atas sebab itu, saya menggunapakai peruntukan Seksyen 5 Akta Kehadiran Wajib Pesalah-Pesalah 1954 dan menggantikan hukuman penjara yang sepatutnya dijatuhkan ke atas Mohd Amran Tullah dengan perintah supaya hadir setiap hari di Pusat Kehadiran Wajib Daerah Kuala Terengganu selama empat jam setiap hari selama empat bulan untuk melakukan kerja wajib,” katanya.
Mohd Amran Tullah dari Kampung Kolam, Kuala Ibai di Kuala Terengganu, didakwa dengan sengaja menyebabkan keguguran dengan menendang perut isterinya, Siti Aishah Alias Saa, 23, yang mengandung tiga bulan selepas berlaku pertengkaran.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di rumahnya di Kampung Padang Luar, Kuala Ibai di sini, jam 10 malam pada 5 Februari tahun lalu.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Zulfazliah Mahmud, manakala Mohd Amran Tullah diwakili peguam, Mohd Ramlan Taib.
No comments:
Post a Comment