Anggota MPN bergambar dengan Menteri Besar semalam |
Pengerusi Majlis Profesor Negara (MPN), Prof. Emeritus Datuk Dr. Zakri Abdul Hamid berkata, masa untuk mereka berpolitik akan tetap terbuka luas setelah mereka berjaya dalam pelajaran.
Katanya, dalam kedudukan dan tanggungjawab sebagai pelajar, tidak seharusnya mereka terikut- ikut memainkan peranan pihak lain.
‘‘Mereka wajar peka dengan politik tanah air, mengetahui perkembangan mutakhir. Namun tugas utama mereka ialah menimba ilmu dan menjadi rakyat berguna, bukannya merugikan diri sendiri, bangsa dan negara,” ujarnya.
Katanya, para pelajar mempunyai hak untuk berdemonstrasi dan kebebasan itu mestilah dihayati dengan penuh tanggungjawab, dengan bijak menilai kewajaran sesetengah tindakan itu.
Beliau berkata ketika diminta mengulas mengenai gejala pelajar sibuk berpolitik selepas majlis perasmian majlis Profesor Negara Bersama Pelajar: Mengukir Kecemerlangan di Terengganu, di Wisma Darul Iman di Kuala Terengganu, semalam.
Perasmian disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains & Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Razif Abdul Rahman.
Ia sebahagian daripada program Profesor Turun Padang anjuran MPN buat julung kalinya di negeri ini bagi mendekatkan golongan cendekiawan dari pusat-pusat pengajian dengan pelbagai lapisan masyarakat.
Sementara itu, beliau menyatakan bahawa melalui kerjasama pintar dengan kerajaan Terengganu, MPN akan membantu merealisasikan impian negeri itu untuk mencapai status Negeri Anjung Ilmu dalam tempoh yang lebih singkat.
Dr. Zakri berkata, menerusi kerjasama itu, MPN akan membantu menggerakkan satu usaha berdasarkan idea atau pendekatan yang lebih bernas ke arah mencapai aspirasi tersebut.
“MPN pilih Terengganu ini (untuk menjalinkan kerjasama pintar) sebab tertarik dengan slogan ‘Negeri Anjung Ilmu’ yang didokong oleh kerajaan negeri.
“Rekod cemerlang para pelajar di negeri ini dalam pelbagai peringkat peperiksaan serta sokongan padu, komitmen dan iltizam Menteri Besar dalam memperkasakan bidang pendidikan membuatkan MPN tertarik untuk menjalinkan kerjasama ini,” katanya.
Pada majlis itu, Timbalan Pengerusi MPN, Prof. Ulung Dr. Shamsul Amri Baharudin menyampaikan ucaptama Merintis Jalan ke Puncak Membina Kerjaya dengan menggariskan tindakan untuk berjaya dengan model kejayaan Ratu Squash dunia, Nicol David.
Pelajar cemerlang dari seluruh negeri turut dilibatkan dalam sesi bengkel transformasi kerjaya mengikut bidang pilihan di samping perbincangan dengan guru-guru kaunselor.
Utusan Malaysia
No comments:
Post a Comment