Saturday, April 14, 2012
Shahril, Ahmad Fuad Harapan Tinggi Catat Kejayaan CP115
Selepas beraksi satu pusingan dalam kategori CP130, Shahril Izzuwan Mohd Noor kembali ke kategori CP115 bermula Pusingan 2 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas di Stadium Sultan Mizan Gong Badak, Terengganu hujung minggu ini.
Keputusan dibuat Petronas Syntium Moto Yamaha AHM meneliti tunggangan Shahril lebih sesuai dengan jentera CP115 dan sebagai langkah terbaik mempertahankan gelaran pasukan terbaik CP115 yang dimenangi dua tahun berturut-turut (2010, 2011).
“Pasukan kami mempunyai matlamat besar. Selain mahu mengekalkan gelaran keseluruhan individu dan berpasukan CP115, selain mencari peluang menguasai kategori CP130,” katanya.
Perlumbaan Pusingan dua bakal menyaksikan Shahril berganding bahu dengan juara Batu Kawan, Mohd Iskandar Raduan manakala Zulsyafiz akan membawa cabaran kategori CP130 bersama-sama Mohd Ramdan Mohd Rosli.
Sementara itu, Faito Motobert Racing meletakkan harapan tinggi terhadap gandingan pelumba berpengalaman, Ahmad Fuad Baharudin dan Ahmad Fazrul Sham untuk mencatat kejayaan pada pusingan kedua Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2012 di Stadium Sultan Mizan dekat Gong Badak, Terengganu hari ini.
Memasuki tahun kedua beraksi, pasukan yang dikendalikan bekas pelumba, Rosnizam Mohd. Noor itu percaya kombinasi Fuad dan Fazrul mencerahkan peluang mereka untuk mencatat kejayaan dengan lebih pantas dalam kategori CP130 berbanding pelumba kurang berpengalaman seperti mana yang berlaku musim lepas.
Ia terbukti apabila Fuad berjaya berada di antara pelumba hadapan sewaktu perlumbaan pusingan pembukaan di Batu Kawan. Malangnya, masalah teknikal jentera menjadi halangan kepada juara Expert/CP130 dua kali (2002 dan 2009) itu untuk naik ke atas podium dan hanya sekadar menamatkan perlumbaan di tempat kelima.
Masalah serupa berlaku terhadap Fazrul namun nasibnya lebih malang apabila terpaksa menamatkan perlumbaan lebih awal.
"Perlumbaan CP130 begitu kompetitif dan bagi pelumba muda, mereka memerlukan lebih masa untuk menyesuaikan diri melainkan jika mereka benar-benar mempunyai bakat dan kebolehan yang luar biasa. Sebab itulah kami memilih untuk menggunakan pelumba senior musim ini."
"Fuad dan Fazrul mempunyai pengalaman dan kemahiran yang diperlukan untuk membantu kami membangunkan pasukan ini dengan lebih cepat kerana dapat memberikan maklumat tentang tindak balas jentera yang diperlukan kepada mekanik pasukan dengan tepat. Ini sekali gus memudahkan tugas para mekanik mendapatkan pelarasan terbaik.
"Selain itu, kedua-dua pelumba ini mempunyai kekuatan mental yang mantap.
Contohnya seperti yang ditunjukkan Fuad. Di sebalik masalah teknikal yang dihadapi, dia tetap memberikan aksi terbaik dan masih mampu menamatkan perlumbaan di tempat kelima.
Jelas dia bukan seorang pelumba yang mudah berputus asa sewaktu berlumba." kata Rosnizam.
Rosnizam berkata, walaupun prestasi mereka agak baik di Batu Kawan, mereka perlu realistik dalam meletakkan sasaran pada perlumbaan akan datang.
Lagi pun, sebelum ini kebanyakan pasukan masih belum mendapatkan pelarasan terbaik untuk jentera mereka, jadi dia tidak terkejut jika kali ini mereka lebih pantas.
"Berbanding untuk mengejar kemenangan, kami lebih mengharapkan agar mereka dapat mengekalkan kedudukan konsisten dan cuba menjejakkan kaki di atas podium sahaja." katanya
Maklumat lanjut, sila hubungi Safe Aim Mutual Sdn Bhd (SAM)di talian 03-8733 8787 atau lawati laman web rasmi Kejuaraan Cub Prix AAMMalaysia PETRONAS, www.malaysiancubprix.com.
No comments:
Post a Comment