Monday, April 16, 2012

Pemilik Kenderaan Ingkar Notis Cermin Gelap Akan Disenarai Hitam

Pemilik kenderaan bercermin gelap yang gagal mematuhi notis arah periksa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di negeri ini akan dikenakan tindakan disenarai hitam kerana ingkar arahan.

Pengarah JPJ negeri, Abdul Rahman Emang Anyie, berkata kebanyakan pemandu terbabit diberi notis berkenaan ketika operasi penguatkuasaan JPJ.


"Kebanyakan mereka yang gagal hadir adalah pemilik kenderaan yang memasang cermin gelap dan enggan membuang lapisan 'tinted' yang sudah dipasang.

"Setiap kali operasi dibuat, kita memang memberi notis amaran dan tempoh kepada mereka untuk membuang 'tinted' dan seterusnya perlu datang ke JPJ untuk pemeriksaan kembali bagi memastikan tahap ketelusan cahaya itu menepati standard keselamatan yang ditetapkan," katanya di Kuala Terengganu, hari ini.

Beliau berkata, bagi tempoh tiga bulan pertama tahun ini, sebanyak 3,605 notis arah periksa cermin gelap dikeluarkan JPJ Terengganu.

Mereka yang dikenakan tindakan disenarai hitam akan menghadapi kesukaran untuk berurusan dengan JPJ termasuk memperbaharui cukai jalan, katanya.

 Justeru itu, beliau meminta pemilik kenderaan yang menerima notis itu supaya mematuhi dan menghantar kenderaan masing-masing untuk pemeriksaan di mana-mana pejabat JPJ dalam tempoh 10 hari selepas notis dikeluarkan atau bakal berdepan dengan kompaun RM200 serta tindakan lain.

Katanya, cermin kenderaan pada bahagian sisi perlu melebihi 50 peratus kecerahan sementara 70 peratus kecerahan dikehendaki pada bahagian hadapan dan belakang kenderaan.

No comments:

Post a Comment