Thursday, April 5, 2012

Pertukaran Mykad Struktur Baru Tidak Diwajibkan

Pertukaran kepada MyKad struktur baru adalah tidak diwajibkan, demikian menurut Kementerian Dalam Negeri (KDN), semalam.

Ketua Setiausaha KDN Tan Sri Mahmood Adam berikutan itu, MyKad lama sah diguna pakai untuk berurusan di semua agensi berkaitan.


"KDN ingin menjelaskan kepada orang ramai bahawa pertukaran MyKad struktur baru adalah tidak diwajibkan. Ia merupakan pelaksanaan berterusan tanpa tarikh tutup," katanya dalam satu kenyataan,semalam.

Beliau berkata KDN menerusi Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) melaksanakan pengeluaran MyKad struktur baru pada 3 Jan lepas, yang mendapat sambutan mendadak sehingga tiga kali ganda daripada orang ramai.

Purata permohonan yang diterima adalah sebanyak 21,000 permohonan sehari berbanding sebelumnya sebanyak 8,000 permohonan sehari, katanya. Mahmood berkata sehingga 31 Mac lepas, sebanyak 1,516,126 permohonan diterima namun berlaku kelewatan dalam pengeluaran MyKad.

"Kemampuan untuk menyiapkan MyKad pada masa kini ialah 8,000 sehari berbanding permohonan yang mencecah 21,000," katanya.

Berikutan itu, katanya KDN dan JPN telah mengambil langkah mengatasi masalah itu dengan mendapatkan bekalan tambahan kad mentah mencukupi, mengadakan rundingan bagi mendapatkan bekalan tambahan mesin mencetak MyKad struktur baru dan melantik pegawai serta kakitangan tambahan untuk kerja-kerja pencetakan.

 "Melalui usaha ini, JPN dijangka dapat menyelesaikan sepenuhnya tunggakan cetakan MyKad struktur baru sebanyak 419,078 kad pada Julai ini," katanya sambil memohon maaf di atas kelewatan pengeluaran MyKad struktur baru itu.

No comments:

Post a Comment