Monday, April 30, 2012

PRU13 - Najib Tidak Ubah Pendirian Mengenai Tarikh Gara-Gara Bersih 3.0?


Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata beliau akan mengkaji sama ada akan menangguhkan atau melewatkan Pilihan Raya Umum ke-13 kesan perhimpunan Bersih 3.0 kelmarin.

"Saya tak ragu-ragu. Saya tak tahu, kita tengoklah," demikian ulasan Perdana Menterimenjawab soalan pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno di Menara Dato Onn di Kuala Lumpur, malam semalam.

Apakah ini bermakna Najib tidak ubah pendirian mengenai tarikh pilihan raya umum ke 13 walaupun banyak pihak mengatakan Bersih 3.0 akan mempengaruhi Perdana Menteri untuk melewat-lewatkannya.

Beliau ditanya sama ada perhimpunan itu akan menimbulkan keraguan untuk membubarkan Parlimen seterusnya melewatkan Pilihan Raya Umum ke-13.

Mengenai Bersih 3.0 Perdana Menteri menegaskan pihak polis akan memaparkan rakaman video mengenai apa sebenarnya berlaku semasa perhimpunan anjuran sebuah pertubuhan bukan kerajaan disokong oleh pembangkang di ibu negara Sabtu.

Najib, yang juga Presiden Umno, berkata langkah itu bagi mengelak insiden itu daripada dieksploitasi oleh pihak tertentu yang cuba mempengaruhi pendapat awam berhubung perhimpunan itu yang kebanyakannya dipaparkan melalui media sosial.

"Penting bagi polis untuk paparkan apa sebenarnya berlaku. Polis tidak akan tutup ada apa-apa termasuk jika ada salah laku yang dilakukan oleh anggota polis sendiri," katanya.

Beliau berkata Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar akan mengadakan sidang media hari ini  bagi menerangkan lebih lanjut berhubung penyiaran rakaman video tersebut.

Najib, yang kesal dengan tindakan liar peserta semasa perhimpunan itu, turut menyifatkan penganjur gagal menepati janji untuk mengadakan perhimpunan yang aman dalam tempoh yang singkat.

Katanya serangan ke atas pihak berkuasa dan tindakan merempuh penghadang yang didirikan menunjukkan peserta perhimpunan tidak menghormati keputusan mahkamah, mengetepikan prinsip kedaulatan undang-undang, menunjukkan budaya keterlaluan dan ganas.

"Mungkin bukan semua tapi kesudahannya adalah satu keadaan yang sedikit sebanyak mencalar imej negara...polis menjadi mangsa, telah dipukul dan sebagainya," katanya yang turut menyampaikan rasa simpati kepada anggota polis yang telah menjalankan tugas mereka semada perhimpunan itu.

Perdana Menteri berkata polis juga akan menjalankan siasatan secara menyeluruh berhubung sebarang tindakan keterlaluan terhadap orang awam termasuk pengamal media.

Beliau juga memberi jaminan siasatan akan dijalankan secara adil dan tindakan sewajarnya akan diambil.

"Saya juga prihatin untung nasib wartawan yang jalankan tugas. Kena siasat, tak boleh semberono... mesti siasatan adil dan objektif. "Peguam Negara kena buat keputusan berdasarkan fakta dan bukan emosi dari cerita tersebar sebab ia tak betul sama sekali," katanya.

Selain itu, Najib berkata penggunaan gas pemedih mata dan meriam air bagi menyuraikan peserta yang bertindak agresif dan enggan mengikut arahan polis merupakan satu opsyen yang tidak memudaratkan kesihatan dan perkara itu telah disahkan oleh pegawai perubatan yang bertugas.

 "Mereka kata ia lebih baik daripada berlaku pertempuran secara fizikal. Kalau tak bersurai tentu sekali kes-kes fizikal dan kecederaan tentu lebih besar dan parah daripada apa yang berlaku. "Mungkin lebih serius seperti kehilangan nyawa dan sebagainya. Kita tidak tolak kemungkinan ia boleh berlaku sebab bila ada demonstrasi jalanan, akan dipengaruhi unsur-unsur yang amat sukar dikawal," katanya.

Najib memperjelaskan unsur tersebut termasuk kewujudan golongan ektremis dan pengacau yang tidak dapat dikawal selain 'mob psychology' yang mampu mempengaruhi orang biasa untuk turut sama bertindak ganas dan liar.

"Sebab itu kerajaan tak benarkan Dataran Merdeka digunakan selain ia merupakan tapak bersejarah dan ingatan ikonik dalam sejarah kemerdekaan negara.

 "Kita juga sangsi motif pihak yang menganjurkan perhimpunan tersebut akan digunakan pihak lain untuk tujuan politik," katanya.

Beliau berkata seramai 130 anggota perubatan termasuk 30 doktor dari Hospital Kuala Lumpur (HKL) telah ditugaskan untuk memberi rawatan segera kepada yang terlibat dalam perhimpunan itu tanpa mengira fahaman politik.

Perdana Menteri turut memaklumkan bahawa perhimpunan tersebut merupakan ujian pertama bagi anggota polis menterjemahkan tindakan mengikut undang-undang baru selepas kerajaan melaksakan transformasi politik termasuk pemansuhan Ordinan Darurat 1969 dan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 selain memperkenalkan Akta Perhimpunan Aman baru-baru ini.

Dalam pada itu, ditanya sama ada kerajaan akan mewujudkan satu lagi Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) bagi memenuhi tuntutan perhimpunan kali ini, Najib berkata tiada sebab untuk mewujudkannya kerana semuanya telah dijawab semasa PSC membentangkan laporan mereka di Parlimen baru-baru ini.

No comments:

Post a Comment