Saturday, April 14, 2012

Saya Hanya Peminat, Tidak Campur Isu Desar Che Mat Jusoh Letak Jawatan - MB


“Saya tidak akan masuk campur dalam isu penyokong bola sepak negeri ini yang bertindak menaikkan kain rentang di luar Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah kerana kecewa dengan kekalahan pasukan Terengganu di tangan Tampines Rovers, Singapura ,” kata Menteri Besar Datuk Seri Haji Ahmad Said.

Katanya, beliau bersuara sebagai peminat dan tidak berhajat untuk masuk campur dalam kemelut penyokong dengan pihak pengurusan bola sepak negeri ini bagi mengelakkan kemungkinan dikenakan tindakan pihak FAM.


Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kejadian Selasa lalu di mana lebih 300 penyokong fanatik berkumpul di luar stadium sambil menaikkan kain rentang mendesak Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), DatukChe Mat Jusoh meletak jawatan.

 Katanya, selaku peminat bola sepak beliau juga berharapkan kemenangan pasukan dalam setiap perlawanan tapi adatlah pertandingan mesti ada kalah dan menang.

“Saya faham mereka kecewa, tapi berilah peluang pengurusan mencari formula baru untuk baiki kelemahan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen Media Sosial 1Malaysia di di Dewan Besar, Wisma Darul kelmarin,

Selasa lalu Terengganu tumpas 2-0 di laman sendiri dalam perlawanan keempat Piala AFC dan telah menimbulkan tidak puas hati segelintir penyokong fanatik.

Penggendali Terengganu, Mat Zan Mat Aris pula mahu penyokong setia Penyu memahami situasi dihadapi skuadnya dan tidak terlalu cepat menghukum susulan aksi hambar yang dipamerkan anak buahnya dalam beberapa perlawanan sebelum ini.

“Kemenangan adalah perkara paling diingini setiap pasukan. Namun begitu, penyokong harus faham kami bukanlah ‘superior’ dan tidak mungkin dapat memenangi setiap perlawanan.

“Dua kekalahan berturut-turut bukan bermakna pasukan ini merosot sepenuhnya. Sebaliknya, kami masih berpeluang mara ke pusingan kedua Piala AFC (Piala Konfederasi Bola Sepak Asia) apabila masih kekal di tangga kedua Kumpulan F dan layak ke pusingan separuh akhir Piala FA,” katanya mengulas kekalahan kepada Selangor pada aksi Liga Super dan terbaru kepada wakil Singapura, Tampines Rovers dalam aksi Piala AFC, kelmarin.

Katanya, kekalahan kelmarin disebabkan pemainnya gagal beraksi baik di samping turun tanpa kehadiran beberapa tonggak utama yang masih lagi dibelenggu kecederaan dan digantung perlawanan.

Dalam pada itu, Mat Zan menyeru peminat berdiri di belakang pasukan menjelang perlawanan menentang Negeri Sembilan di laman sendiri, Sabtu ini (hari ini).

 “Selepas perlawanan timbal balik dengan Negeri Sembilan pada Sabtu dan Selasa (pusingan kedua Liga Super), kita akan meneruskan saingan separuh akhir Piala FA menentang Sime Darby (21 April) sebelum bertemu semula dengan Song Lam Nghe An (25 April) dalam saingan AFC.

 “Kita memang kesuntukan masa dari segi latihan dan juga ruang untuk bernafas, namun apa yang penting adalah untuk mengembalikan semula semangat bagi meneruskan kemaraan dalam tiga saingan berbeza,” katanya yang menagih khidmat pemain-pemain terbaiknya untuk segera kembali dalam pasukan.

Teganuku & Sinar Harian

No comments:

Post a Comment