Saturday, April 14, 2012

Zaqhwan Terpantas Sesi Ujian Masa Di Gong Badak


Mohd. Zaqhwan Zaidi mengungguli sesi ujian masa Pusingan 2 Kejuaraan Cub Prix Malaysia Petronas di litar Stadium Sultan Mizan, Gong Badak, Kuala Terengganu, semalam.

Selepas memenangi perlumbaan pusingan pembukaan di Stadium Batu Kawan, minggu lalu, catatan 41.307 saat semalam, meletakkan pelumba Pachie Yuzy Honda Racing itu sebagai pelumba terpantas.

Azlan Shah Kamaruzaman (Y-TEQ SCK Honda Racing) kedua terpantas (41.369s) diikuti Ahmad Fazli Sham (Yamaha Maju Motor Racing) ketiga 41.387s.


Zaqhwan berkata, dia amat berpuas hati dengan prestasinya semalam dan agak terkejut apabila muncul pelumba terpantas dan berjaya mengatasi pelumba yang lebih berpengalaman.

Tidak menyangka dengan catatan yang dilakukannya, Zaqhwan menjelaskan: “Walaupun berpuas hati dengan prestasi pada hari ini (semalam), namun saya agak terkejut apabila muncul pelumba terpantas dan berjaya mengatasi pelumba-pelumba lain yang lebih berpengalaman.

“Saya berterima kasih kepada seluruh krew pasukan kerana telah bertungkus lumus menyediakan jentera yang terbaik buat saya,” jelas pelumba berusia 17 tahun itu.

Mengulas mengenai sasaran pada perlumbaan akhir, Zaqhwan berkata bahawa litar di Gong Badak itu merupakan antara litar yang cukup digemarinya dan sudah pasti mengharapkan kemenangan kedua musim ini.

“Sebelum itu, saya berazam mahu mencatat masa yang lebih pantas pada sesi Superpole esok (hari ini) agar dapat memulakan perlumbaan di barisan hadapan sekali gus dapat menambahkan keyakinan saya untuk sekali lagi menjejakkan kaki di atas podium,” jelasnya.

Bagi pengurus pasukan, Shahrol Yuzy Ahmad Zaini pula, dia turut yakin anak didiknya itu mampu menghadiahkan kemenangan kedua kepada pasukan mereka.

“Dia telah bekerja keras selama ini termasuk keseluruhan ahli pasukan ini. Jika dia dapat memberikan aksi terbaik seperti yang ditunjukkan hari ini (semalam), saya cukup yakin dia mampu mengulangi kejayaan seperti yang dilakukan ketika di Batu Kawan.”

Sementara itu, langkah Shahril Izzuwan Mohd. Noor untuk kembali ke kategori CP115 bermula pusingan kedua ini membuktikan dia sememangnya berhasrat untuk mempertahankan mahkota juara keseluruhan 2011 apabila mengungguli sesi ujian masa dengan catatan terpantas 41.995s.

Shahril menjadi pelumba tunggal melakukan catatan di bawah 42 saat manakala rakan sepasukannya di PETRONAS Syntium Moto Yamaha AHM, Mohd. Iskandar Raduan sekadar mencatat 42.108s diikuti Mohd. Farid Ahmad (CKJ Yamaha Racing) sebagai pelumba ketiga terpantas dengan 42.300s.

Shahril yang beraksi dalam kategori CP130 ketika di Batu Kawan berkata: “Sasaran awal saya hanya untuk mengekalkan catatan sekitar 42 saat namun tidak menyangka dapat melakukan catatan terpantas pada minit-minit akhir perlumbaan.

Ia cukup menggembirakan namun saya perlu berhati-hati pada sesi saringan nanti kerana sebarang kejadian tidak diingini boleh menjejaskan peluang saya untuk memulakan perlumbaan akhir di barisan hadapan.”

Ketika di tanya strateginya bersama Iskandar, Shahril menjelaskan: “Kami akan menggunakan strategi berpasukan dan saling bantu membantu.

Sesiapa antara kami berdua yang berada di belakang pasti akan membantu pelumba di hadapan. Ia bagi memastikan kemenangan menjadi milik kami.” Shahril turut mengakui, peluangnya untuk mempertahankan gelaran juara keseluruhan masih terbuka kerana saingan masih di peringkat awal.

Dalam kategori Wira, Fakhrusy Syakirin Rostam mengulangi pencapaian Pusingan 1 di Stadium Batu Kawan apabila sekali lagi muncul pelumba terpantas pada sesi ujian masa.

Pelumba pasukan AAP Mazoil Armstrong Motorsport itu melakukan catatan 42.424s mengatasi Tengku Amirul Haffiruddin (Motul Yamaha YY Pang Racing) kedua, 42.508s dan Mohd. Hafiz Nor Azman (Mos Track Pro Yamaha Racing) ketiga, 42.546s.

No comments:

Post a Comment