Anak muda Terengganu mendakwa sebagai gerakan Gempur. |
Timbalan Pengarah (Pendidikan) YT , Encik Razali Mahmud, berkata pihaknya menerima memorandum tersebut yang dihantar 16 wakil Persatuan Gerak Mahasiswa Pantai Timur (Gempur) hari ini, tetapi YT terpaksa bertegas dengan keputusan itu kerana jelas kesemua pelajar itu melanggar peraturan dengan menyertai perhimpunan haram Bersih.
Katanya, jika tiada tindakan tegas, mungkin lebih ramai lagi pelajar lain akan turut melakukan perbuatan sama selain ada yang menunding jari dan mempelekehkan YT jika bersikap berdiam diri.
“Pihak kami akan mengadakan mesyuarat dengan Ahli-Ahli Lembaga YT bagi membincangkan perkara ini secara lebih lanjut, sebarang tindakan sama ada diteruskan tindakan atau sebaliknya, YT terpaksa akur.
“Tindakan itu dilakukan selepas pihak kami tidak puas hati dengan jawapan kepada surat tunjuk sebab yang dikemukakan kepada mereka sebelum ini setelah didapati terlibat dengan kes salah laku tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima memorandum dari 16 wakil Gempur di pejabatnya hari ini. Beliau turut memberitahu, pelajar terbabit didapati melanggar peraturan dengan menyertai perhimpunan haram Bersih.
“Selepas kita tidak berpuas hati dengan jawapan yang mereka berikan, kita bertindak menarik balik pinjaman mereka berkuatkuasa serta-merta iaitu pada awal September tahun lalu..
“Pelajar yang dikenakan tindakan itu adalah dua pelajar perubatan yang masing-masing kini berada di tahun lima dan tahun 4 manakala tujuh lagi pelajar pengajian Islam yang merupakan pelajar tahun 2 dan tahun 3,” katanya.
Menurut beliau, pihaknya kesal dengan tindakan mereka yang nyata tidak memikirkan masa depan diri sendiri dan keluarga. “Mereka tetap berdegil walaupun menyedari akibat dan musibah yang bakal berlaku jika menyertai sebarang perhimpunan dan demontrasi politik,” katanya.
Razali berkata, YT membelanjakan ratusan ribu ringgit setahun dengan menghantar mereka melanjutkan pelajar ke luar negara dengan tujuan menimba ilmu dan bukannya menghentam kerajaan.
“Pihak kami mengharapkan supaya tidakan yang diambil ini menjadi pengajaran berguna kepada semua pelajar supaya tidak melanggar undang-undang dan peraturan yang ditetapkan,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Gempur, Muhammad Syahmi Hazim Mohd Ithnin, berkata pihaknya mengharapkan YT memberi peluang kedua kepada sembilan pelajar yang ditarik balik pinjaman kerana mereka jelas tidak bersalah kerana hanya mengikuti perhimpunan aman yang bukan di bawah tajaan mana-mana parti.
“Budi bicara YT yang bertanggungjawab meluluskan pinjaman kepada pelajar di negeri ini amatlah ditagih kerana rata-rata pelajar yang dikenakan tindakan itu memiliki latar belakang keluarga yang kurang berkemampuan.
“Gempur memberi tempoh seminggu kepada YT supaya menarik balik pinjaman itu, jika YT tetap berkeras dan bertegas, ahli-ahli Gempur tidak akan segan silu mengadakan perhimpunan aman bagi membantahnya,” katanya.
No comments:
Post a Comment