Wednesday, May 30, 2012

46 Lesen Mencetak, Menerbit Teks Al-Quran Diluluskan - Harussani


Lembaga Pengawalan dan Pelesenan Percetakan al-Quran (LPPPQ) Kementerian Dalam Negeri memberi kelulusan sebanyak 46 lesen mencetak dan menerbit teks al-Quran dan 399 perakuan betul pruf akhir teks al-Quran sehingga Mac tahun ini.

Pengerusinya Tan Sri Harussani Zakaria berkata LPPPQ bertanggungjawab dalam menjaga dan mengawal teks serta bahan yang berkaitan dengan ayat suci al-Quran khususnya di negara ini.


"Hal ini amat penting agar ayat-ayat suci al-Quran sentiasa terpelihara daripada sebarang kesilapan dan kesalahan terutamanya dari segi proses percetakan dan penerbitan ayat-ayat al-Quran sama ada di dalam negara mahupun yang diimport," katanya.

Harussani, yang juga Mufti Perak, berkata demikian kepada pemberita selepas mesyuarat Lembaga Pengawalan dan Pelesenan Percetakan al-Quran Kementerian Dalam Negeri, di Kuala Terengganu, kelmarin.

Beliau berkata dalam melaksanakan Akta Percetakan Teks al-Quran, LPPPQ menerima beberapa aduan berhubung al-Quran, antaranya penyalahgunaan nombor siri kelulusan perakuan betul pruf akhir teks al-Quran yang diberi kepada sesuatu syarikat oleh syarikat yang lain.

Sementara itu, tiga syarikat yang dikenal pasti menyelewengkan nombor siri kelulusan Perakuan Betul Pruf Akhir Teks al-Quran bakal berdepan tindakan undang-undang. Harussani tiga syarikat itu telah menyalahgunakan nombor siri perakuan yang diperoleh syarikat lain.

“Ia merupakan kesalahan yang berat di bawah Akta Pencetakan Teks al-Quran (APTQ) 1986," katanya.

Menurut Harussani, jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum denda RM10,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

Beliau menambah, sehingga Mac lalu, LPPPQ telah memberi kelulusan kepada 46 buah syarikat untuk mencetak dan menerbit teks al-Quran manakala sebanyak 310 pruf atau kelulusan lembaga teks yang disemak oleh Lajnah Tasheh telah diluluskan di seluruh negara.

Mengenai mesyuarat berkenaan, Harussani menjelaskan, antara yang dibincangkan adalah mengenai penjualan teks al-Quran yang tidak mempunyai kelulusan, pencetakan teks al-Quran oleh syarikat yang tidak mempunyai autoriti serta pelupusan bahan-bahan buangan yang mengandungi ayat-ayat al-Quran yang dibuat secara tidak beradab.

Tambahnya, LPPPQ juga meluluskan enam permohonan pruf akhir teks al-Quran tanpa syarat manakala 13 lagi diluluskan dengan syarat perlu diperbetulkan kesalahan manakala enam lagi ditolak.

“Ada juga permohonan melibatkan penghasilan al-Quran digital dan jenis ini amat sukar diluluskan kerana jika ada satu sahaja kesalahan ditemui, ia perlu dibaiki keseluruhannya," katanya.

“Jika membeli secara dalam talian, pastikan ia telah disemak oleh Lajnah Tasheh terlebih dahulu dan yang paling mudah adalah dengan merujuk laman web KDN iaitu www.moha.com.my," jelasnya.

1 comment:

  1. Assalammualaikum.....

    Ingin Tahu berapakah Kos untuk mendapatkan Kelulusan daripada pihak berwajib.

    Ini adalah kerana Kilang saya dalam percubaan untuk membuat OEM dimalaysia.

    Yang benar,
    Hasnizam Bin Othman

    ReplyDelete