Wednesday, May 30, 2012
Agrobanl Serah Zakat Lebih RM96,000 Kepada Maidam
Zakat perniagaan berjumlah RM96,253.90 telah diserahkan kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Negeri Terengganu (MAIDAM) oleh Agrobank untuk zakat perniagaan mereka pada tahun ini bertempat di Kampus ITC, TATIUC Telok Kalong, kelmarin.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Wan Mohd Fadzmi Wan Othman, bagi membantu golongan pengusaha kecil dan petani di negeri Terengganu sehingga Disember 2011, Agrobank telah meluluskan pinjaman mikro kredit sebanyak RM45.0 juta kepada 3,513 orang peminjam.
Dengan pembiayaan ini, golongan yang kurang berkemampuan dapat menjalankan perniagaan mereka dengan lebih berkesan dan sekaligus menjadi pelengkap kepada usaha untuk membangunkan usahawan.
Disamping itu, Agrobank juga telah menyerahkan sumbangan berjumlah RM44,622 kepada golongan asnaf miskin yang terdiri daripada peniaga kecil/mikro, ibu-ibu tunggal serta pelajar-pelajar di sekitar Kemaman.
Seorang penerima yang ditemui, Wok Abdullah 76, berkata sumbangan yang diterima amat bernilai padanya untuk menampung perbelanjaan harian memandangkan dirinya hanya menumpang dengan cucu sulungnya.
“Saya berasa amat bersyukur dengan pemberian ini dan mengucapkan terima kasih kepada kakitangan Pejabat Dun Kijal kerana telah memilih saya sebagai salah seorang penerima pada pagi ini,” katanya.
Bagi Pani Ibrahim 42, seorang pengusaha karipap secara kecil-kecilan berasa sangat teruja kerana telah menerima Mesin Uli Tepung seberat 6kg yang bernilai RM1150.00.
“Dengan adanya Mesin Uli Tepung ini, saya tidak lagi menggunakan tangan untuk menguli tepung setiap hari sebanyak 14kg malah pendapatan saya akan bertambah dengan kemudahan tersebut,” kata Pani.
Turut hadir pada majlis penyerahan wang zakat itu, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said.
Teganukita
No comments:
Post a Comment