Friday, May 11, 2012

Giliran Mohd Shahrul Dari TSG Naik Podium, Adiq Husainie Kekalkan J

Saingan hari ketiga Kejohanan Berbasikal Jelajah 1Malaysia (J1M) 2012 akhirnya menyerlahkan kemampuan sebenar pelumba negara apabila Mohd. Shahrul Mat Amin daripada pasukan Terengganu Cycling Team (TSG) berjaya menjuarai perlumbaan dari Kulim ke Felda Chuping itu dengan catatan masa 4 jam 23 minit dan 36 saat petang semalam.

Selepas tiada pelumba Malaysia yang menaiki podium dalam dua peringkat perlumbaan sebelum ini, Mohd. Shahrul, 23, akhirnya tampil menamatkan badi tersebut dengan mengungguli saingan sejauh 168.8 kilometer itu dengan diikuti pelumba Polygon Sweet Nice dari Indonesia, Dani Lesmana (kedua) dan Muhd. Adiq Husainie Othman daripada pasukan Bawah 23 Malaysia (ketiga).

Peringkat ketiga semalam turut menyaksikan dominasi beberapa lagi pelumba negara, termasuk gandingan dua beradik daripada TSG, Mohd. Harrif dan Mohd. Zamri Salleh yang masing-masing menduduki tempat keempat dan keenam.


Mohd. Nor Ridzuan Zainal daripada pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di tempat ke-10 dan pelumba pasukan Kedah, Khairul Azhar ke-15. Kejayaan Mohd. Shahrul yang mengekori Adiq selepas breakaway (pemisahan) pada 28km pertama semalam juga merupakan kemenangan kedua pelumba kelahiran Marang, Terengganu itu sejak kali terakhir mengecapinya pada JM 2010 di Lumut

"Memang sasaran saya pada J1M kali ini ialah untuk memenangi peringkat perlumbaan dan syukur kepada Tuhan kerana saya berjaya merealisasikannya pada hari ini (semalam).

"Perlumbaan hari ini agak mencabar sebab ada banyak bukit yang perlu diharungi tetapi selepas saya melihat Adiq melakukan breakaway selepas 28km awal, saya cuba mengekorinya bersama pelumba Indonesia (Dani).

"Entah bagaimana kami bertiga berjaya 'terlepas' daripada peloton lain yang mengejar kami di belakang dan jarak kami pula semakin lama semakin jauh dengan mereka sehinggalah pada 500m terakhir hanya ting- gal saya, Adiq dan pelumba Indonesia tersebut," jelas Mohd. Shahrul semalam.

Sementara itu, Adiq yang menjadi calon pilihan ke Sukan Olimpik 2012 London Julai depan, sekali lagi berjaya mempertahankan dua jersi yang dimenanginya sejak awal perlumbaan iaitu Jersi Hijau Raja Pecut dengan 56 mata serta Jersi Putih sebagai pelumba terbaik Malaysia.

Jersi Kuning selaku pendahulu keseluruhan pula masih kekal menjadi milik pelumba pasukan Uzbekistan Suren, Yusup Abrekov yang turut menyarung Jersi Biru selaku pelumba terbaik Asia.

Jersi Merah Raja Bukit kekal menjadi milik Dadi Suryadi daripada pasukan Putra Perjuangan dari Indonesia.

Perlumbaan peringkat keempat akan bermula dari Kangar ke Sungai Petani, Kedah hari ini.

Kosmo!

No comments:

Post a Comment