Monday, May 14, 2012

Hariff Catat Kemenangan Kedua Buktikan Dia Kini Pakar Pecut


Pelumba pecut negara, Mohd. Harrif Salleh meneruskan rentak cemerlangnya apabila memenangi peringkat kelima Kejohanan Lumba Basikal Jelajah 1 Malaysia (J1M) 2012 dari Sungai Petani, Kedah ke Ipoh, Perak kelmarin.

Pada saingan sejauh 194.9 kilometer (km) itu, Harrif yang mewakili Terengganu Cycling Team (TSG ) mencatat masa 4 jam 34 minit dan 40 saat, diikuti seorang lagi pelumba negara yang berkayuh buat Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Mohd. Nor Ridzuan Zainal dan Alex Carver daripada pasukan Genesys Wealth Advisers.

Kejayaan tersebut merupakan kemenangan kedua berturut-turut buat Harrif selepas dia menjuarai peringkat keempat dari Kangar (Perlis) ke Sungai Petani (Kedah) kelmarin, sekali gus menghadiahkan kejayaan keempat buat TSG.

Sebelum ini, Shinchi Fukushima memberi kemenangan pertama buat TSG apabila menjuarai peringkat pertama (Stadium Merdeka-Bandar Baru Kampar), manakala Mohd. Shahrul Mat Amin pula memenangi peringkat ketiga dari Kulim ke Felda Chuping.

Dua kemenangan berturut-turut itu jelas sekali mengukuhkan lagi reputasi Harrif, 23, sebagai pakar pecut negara selepas seorang lagi pakar pecut, Anuar Manan terkandas pada peringkat pertama selepas menghidap demam.

“Syukur kerana saya dapat mengotakan lagi janji dengan mencatat kemenangan kedua dalam J1M 2012, terutamanya dalam laluan yang panjang seperti peringkat kelima ini.

“Pada perlumbaan hari ini (semalam), dua rakan sepasukan saya, Mohd. Saufi (Mat Senan) dan Shinichi (Fukushima) cuba melakukan breakaway (pemisahan) tetapi mereka berjaya dikejar semula oleh peloton besar.

“Saya pula hanya cuba mengekalkan kedudukan di belakang mereka supaya dapat menyimpan tenaga kerana saya sudah ramal peloton besar itu akan kekal sehingga ke garisan penamat.

“Jelas sekali ramalan saya itu tepat kerana pada jarak satu kilometer terakhir, saya lihat ada beberapa pelumba termasuk Alex (Carver) cuba melakukan breakaway lagi tetapi saya terus mengekorinya sebelum membuat pecutan terakhir ke garisan penamat,” jelas Harrif pada sidang akhbar semalam.

Seorang lagi pelumba negara, Muhd. Adiq Husainie Othman mengukuhkan pemilihannya sebagai calon utama ke London apabila menamatkan peringkat kelima semalam di tempat keempat.

Keputusan itu membolehkan Adiq kekal menyarung Jersi Hijau selaku Raja Pecut apabila mengutip 78 mata serta Jersi Putih sebagai pelumba terbaik Malaysia.

Sementara itu, pelumba pasukan Uzbekistan Suren, Yusup Abrekov masih mengekalkan Jersi Kuning selaku pendahulu keseluruhan serta Jersi Biru sebagai pelumba terbaik Asia.

Jersi Merah sebagai Raja Bukit pula masih menjadi milik pelumba Putra Perjuangan dari Indonesia, Dadi Suryadi yang mengumpul 10 mata. J1M 2012 akan melabuhkan tirainya pada peringkat keenam semalam yang bermula dari Ipoh ke Dataran Merdeka sejauh 199.5km.

Ia melibatkan tiga zon pecutan (Tapah, Slim River dan Serendah) serta dua zon pendakian (Kuala Kubu Baru dan Rawang).

Kosmo!

No comments:

Post a Comment