Sunday, May 20, 2012

IKIM, WWF Bakal Lancar Buku Pulihara Alam Sekitar Ikut Perspektif Islam

Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim) dan Tabung Alam Malaysia (WWF-Malaysia) akan melancarkan buku panduan pemuliharaan alam sekitar serta hidupan liar mengikut perspektif Islam, Julai ini.

Ketua Pengarahnya, Datuk Nik Mustapha Nik Hassan dalam satu kenyataan berkata melalui buku itu, Ikim ingin menekankan permasalahan alam sekitar serta hidupan liar yang mempunyai hubung kait dengan ajaran Islam.

"Hal ini sangat sebati dengan dasar Islam yang menitikberatkan peranan manusia sebagai khalifah, dan tanggungjawab setiap individu untuk mengurus dan mengatur alam ini dengan baik," katanya.

Beliau berkata sepanjang penghasilan buku yang belum mempunyai tajuk itu, penyelidik Ikim mengunjungi dua tapak projek WWF-Malaysia di Gerik, Perak dan Setiu, Terengganu.

Katanya, kawasan itu merupakan habitat pelbagai spesis terancam seperti Harimau Malaya dan penyu, dua spesis yang diberi perhatian utama dalam buku panduan tersebut.

No comments:

Post a Comment