Friday, May 11, 2012

Kajian Universiti Malaya - BN Terima Sokongan Majoriti Rakyat Pada PRU-13


"Kajian menunjukkan pengundi atas pagar akan memainkan peranan penting dalam pilihan raya akan datang dan pelbagai dasar yang diperkenalkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah berjaya menarik sokongan yang cukup luas dengan dua pertiga daripada responden menyatakan sokongan terhadap pemerintah."

Sejumlah 49 peratus rakyat Malaysia dijangka memilih untuk mengundi Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum (PRU) akan datang berbanding 21 peratus yang memilih Pakatan Rakyat, menurut kajian sebuah universiti tempatan.

Menurut kajian Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL) 30 peratus lagi rakyat Malaysia masih belum menetapkan sokongan dan merupakan pengundi atas pagar yang selalunya akan membuat keputusan pada saat akhir.


Kajian bertajuk 'Kecenderungan Politik Menjelang PRU ke 13' itu melibatkan 2,282 responden, dan dilakukan secara bersemuka dengan etnik Melayu, Cina, India dan lain-lain, yang dipilih secara rawak menurut kadar perpecahan kaum di negara ini.

Ianya telah diadakan antara 31 Mac hingga 15 April lepas, dengan satu margin ralat kira-kira 2.1 peratus, menurut laman web http://umcedel.um.edu.my.

Menurut laporan kajian itu, yang menemuramah sebanyak 55 peratus responden lelaki dan selebihnya wanita, hasil kajian itu menunjukkan Pakatan Rakyat masih perlu menempuh perjalanan yang 'sangat jauh' sebelum mereka dapat menawan Putrajaya seperti mana yang diidamkan.

Selain itu, kajian itu juga turut menunjukkan pengundi atas pagar akan memainkan peranan penting dalam pilihan raya akan datang dan pelbagai dasar yang diperkenalkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah berjaya menarik sokongan yang cukup luas dengan dua pertiga daripada responden menyatakan sokongan terhadap pemerintah.

Dalam kajian itu, responden turut ditanya sama ada pelbagai program yang diperkenalkan oleh Najib akan menambahkan sokongan mereka terhadap BN atau sebaliknya, dan 68 peratus daripada responden menyatakan sokongan terhadap program Kedai Rakyat 1Malaysia, manakala 74 peratus lagi bersetuju dengan program Klinik 1Malaysia.

Keputusan kajian tersebut turut menunjukan agak sukar bagi Pakatan Rakyat menubuhkan kerajaan Persekutuan selepas pilihan raya umum akan datang memandangkan penerimaan baik pengundi terhadap pelbagai inisiatif yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri itu. 

Kajian itu turut mendapati majoriti masyarakat Cina dan India dijangka mengundi Pakatan Rakyat di Selangor, manakala sokongan orang Melayu di negeri itu terbahagi sama rata di antara Pakatan dan BN.

Seramai 60 peratus responden di kalangan orang India dan 49 peratus responden Cina berkata mereka akan menyokong Pakatan Rakyat di negeri berkenaan, berbanding hanya 20 peratus (India) dan 16 peratus (Cina) yang memihak BN.

Bagaimanapun, kedua-dua parti mempunyai sokongan yang sama banyak di kalangan orang Melayu, dengan BN mempunyai kelebihan sebanyak 34 peratus berbanding dengan Pakatan iaitu 33 peratus.

Di Perak, Pakatan Rakyat bakal berhadapan dengan 'pertempuran besar' untuk menawan semula negeri yang dimenangi mereka pada tahun 2008, yang mana BN kemudiannya berjaya mendapatkan semula pentabiran negeri itu pada tahun 2009.

Kajian itu mendapati seramai 67 peratus kaum India menyokong BN, sementara Melayu sebanyak 36 peratus dan kaum Cina sebanyak 35 peratus. Manakala Pakatan Rakyat pula hanya mendapat 30 peratus sokongan daripada kaum Melayu dan Cina, dan kaum India hanya lima peratus.

Kaji selidik itu juga mendapati Pakatan Rakyat akan mengekalkan sokongan di Kelantan, dengan 44 peratus daripada responden memihak kepada mereka berbanding dengan 27 peratus yang memilih BN.

Di Kedah, Pakatan Rakyat memperolehi sokongan majoriti daripada responden Cina dan Melayu, manakala BN jauh lebih popular di kalangan orang India.

No comments:

Post a Comment