Sunday, May 13, 2012

Masum 2012 - Atlet UPM Bolot Gelaran Utama

Tuanku Mizan (tengah) bergambar bersama para pemenang pada majlis anugerah Masum 2011 di Dewan Konvensyen Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu semalam.
Empat atlet kebangsaan yang menuntut di Universiti Putra Malaysia (UPM) merangkul anugerah utama pada Majlis Sukan Universiti Malaysia (Masum) 2011 semalam.

Pemanah berpengalaman, Cheng Chu Sian dan penerjun sensasi, Leong Mun Yee masing-masing telah dinobatkan sebagai Olahragawan serta Olahragawati Masum 2011.

Pemilihan kedua-kedua atlet itu berdasarkan pencapaian cemerlang mereka di pentas antarabangsa sepanjang tahun lalu.


Kejayaan itu membolehkan Chu Sian dan Mun Yee yang menuntut di UPM meraih hadiah wang tunai RM3,000, piala iringan, trofi dan sijil penghargaan.

Bagaimanapun, Chu Sian dan Mun Yee tidak hadir pada majlis tersebut kerana mereka kini giat membuat persiapan bagi menghadapi Sukan Olimpik 2012 di London, Julai depan.

Dua lagi atlet UPM, K. Teagarajan, 21, dan Nurfarah Afiqah Mohd. Taufekh, 22, masing-masing meraih anugerah Bintang Harapan lelaki dan wanita. Teagarajan memberitahu, dia sudah menjangka merangkul anugerah berkenaan apabila meraih pingat emas dalam acara karate-do pada Sukan SEA di Jakarta, Indonesia.

"Kejayaan ini akan menjadi pembakar semangat kepada saya dalam menyertai beberapa pertandingan antarabangsa yang bakal diadakan tahun ini," katanya.

Nurfarah Afiqah yang menduduki kelompok enam penembak remaja terbaik dunia ketika ini pula tidak menduga akan meraih anugerah berkenaan.

"Saya berasakan calon-calon lain hebat belaka dan tidak menyangka akan mendapat anugerah ini. "Bagaimanapun, pencapaian yang memberangsangkan pada tahun lalu banyak membantu dalam meraih anugerah ini," kata anak kelahiran Melaka itu.

Bagi anugerah Tokoh Sukan Masum, ia menjadi milik Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Datuk Omar Osman. Beliau merupakan bekas Presiden ASEAN University Sports Council (AUSC).

Akhbar Kosmo! turut tersenarai apabila menerima anugerah Rakan Sukan Masum bersama empat lagi organisasi iaitu Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Majlis Daerah Port Dickson, Astro Arena dan Permanis Sdn. Bhd.

Hadiah kepada para pemenang disampaikan oleh Sultan Terengganu, Tuanku Mizan Zainal Abidin pada majlis Anugerah Sukan Masum 2011 yang berlangsung di Dewan Konvensyen Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu.

Turut berangkat ke majlis itu ialah Sultanah Nur Zahirah. Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi, Datuk Ab. Rahim Md. Noor; Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Mazlan Ngah; Pengerusi Masum merangkap Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Madya Datuk Dr. Kassim Md. Mansur dan Timbalan Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu, Prof. Dr. Yahaya Ibrahim

Kosmo!

No comments:

Post a Comment