Wednesday, May 16, 2012

Khairul Anuar Jadi Anak Terengganu Keempat Layak Ke Olimpik

Atlet memanah negara, Khairul Anuar Mohamad menjadi anak Terengganu keempat layak ke Olimpik London menyusuli seorang lagi pemanah, Nur Shafiqah Hashim dan dua atlet berbasikal, Azizulhasni Awang serta Fatehah Mustafa.

Khairul Anuar, 21, bersama Cheng Chu Sian dan Haziq Kamaruddin layak secara merit ke temasya itu selepas trio tersebut meraih tempat kesembilan pada Kejohanan Memanah Dunia di Torino, Itali, baru-baru ini.

Menyifatkan kejayaannya itu sebagai hasil kerja keras dan prestasi konsisten, anak muda dari Kampung Pasir Gajah, Kemaman tersebut bagaimanapun tidak mensasarkan sebarang pingat pada temasya sukan terbesar dunia tersebut.

"Saya tidak mensasarkan pingat, kerana masih baru dalam acara ini dengan usia masih muda dan ditambah dengan kurang pengalaman. Saya risau naik begitu mendadak dan oleh itu saya juga tidak mahu jatuh dengan cepat," katanya semalam.

Kairul Anuar ditemubual Teganukita baru-baru ini mengatakan beliau  tidak mahu meletakkan sasaran pingat pada temasya London Julai ini, namun berjanji untuk menampilkan persembahan konsisten sepanjang persaingan, khususnya dalam acara berpasukan.

“Saya tidak mensasarkan pingat, kerana masih baru dalam acara ini. Pada usia baru 21 tahun, saya rasa naik begitu mendadak dan tidak mahu jatuh dengan cepat.

“Untuk acara individu, saya tidak yakin sangat untuk sasar pingat. Bagaimanapun saya berhasrat untuk membuat persembahan dengan konsisten dan dapat mengawal sepenuhnya persaingan memburu mata nanti,” katanya.

Dalam kejohanan Memanah Dunia di Torino, trio yang diketuai pemanah berpengalaman, Chu Sian mengharungi pertarungan penuh dramatik sebelum berjaya menjadi pasukan kesembilan terbaik sekali gus menempah tiket bersama-sama Korea Selatan, Perancis, Mexico, Itali, Ukraine, China dan Amerika Syarikat manakala Great Britain layak automatik selaku tuan rumah.

Kejayaan mereka di luar jangkaan dan amat membanggakan setelah pasukan negara berdepan saingan sengit daripada pasukan handalan dunia.

Selain Khairul Anuar, seorang lagi atlit memanah dari Terengganu, Nur Shafiqah Hashim turut layak ke Olimpik London 2012.

No comments:

Post a Comment