Wednesday, May 16, 2012

Polis Tahan 12 Suspek Terlibat Kes C, Samun

Kamarudin  menunjukkan kepala paip milik masjid yang berjaya ditemui semula pada sidang akhbar di Besut semalam.
Polis berjaya menyelesaikan tiga kes curi dan samun di daerah ini dengan tertangkapnya 12 suspek termasuk tiga warga asing, dalam tempoh dua minggu lepas.

Ketua Polis Daerah Besut Supt Kamaruddin Zakaria berkata berikutan insiden kehilangan kepala paip keluli di beberapa buah masjid di sekitar daerah itu sejak bulan lepas, polis menahan enam remaja berumur antara 19 dan 25 tahun, kelmarin dan semalam.

Katanya berikutan penahanan dua daripada enam suspek itu, yang merupakan pekerja pembersihan bahu jalan semalam, polis menemui sebahagian daripada kepala paip yang dicuri daripada sebuah kedai besi buruk di Kampung Keluang.


"Motif kecurian kepala paip ini ialah bagi mendapatkan wang segera untuk membeli dadah kerana berdasarkan ujian air kencing mendapati mereka positif methamphetamine (pil kuda)," katanya kepada pemberita di Besut, semalam.

Kamaruddin berkata turut ditahan semalam ialah seorang pengusaha kedai besi buruk berumur 53 tahun.

Beliau berkata berdasarkan siasatan, suspek mengakui menjual kepala paip daripada keluli tahan karat itu kepada pengusaha kedai besi buruk terbabit dengan harga antara RM3.50 dan RM4 sekilogram sedangkan harga biasa ialah antara RM60 dan RM150 setiap satu.

 Katanya kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Dalam kes samun yang berlaku pada 2 Mei lepas membabitkan seorang mangsa wanita warga emas berumur 82 tahun di Kuala Besut, beliau berkata polis menahan tiga suspek termasuk seorang wanita yang sedang hamil, sehari selepas kejadian.

Katanya dua suspek yang menggunakan parang serta memakai topeng menyamun barang kemas dan telefon bimbit mangsa yang dianggarkan bernilai RM60,000 ketika wanita berkenaan seorang diri di rumahnya dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 pagi itu.

"Hasil maklumat awam, kita berjaya menahan dua suspek lelaki berumur 26 dan 38 tahun yang juga merupakan penduduk tempatan berserta barang rompakan," katanya.

Dalam pada itu, Kamaruddin berkata polis menahan tiga suspek warga Indonesia berhubung kejadian samun keluarga pesawah di Kampung Bukit Tanah, Tembila, 8 Mei lepas.

"Polis menemui barangan yang disamun termasuk dua bilah parang panjang dan sebatang kayu sepanjang tiga meter yang digunakan suspek untuk mengugut keluarga mangsa ketika kejadian," katanya.

Beliau sedang mengesan seorang lagi suspek kes samun itu yang dikenali sebagai Ilham, berusia dalam lingkungan 30-an dan berasal dari Ledang Tengari, Lombok, Indonesia.

No comments:

Post a Comment