Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) cawangan Terengganu akan menjalankan satu kajian mengenai harga makanan di Terengganu yang dianggap antara termahal di Malaysia.
Kajian tersebut yang akan dijalankan bersama Universiti Malaysia Terengganu (UMT), adalah susulan aduan ramai pengguna kepada KPDNKK Terengganu, kata Pengarahnya Ghazali @ Suhaimi Muhammad.
"Kami berharap dengan kaji selidik ini kita akan dapat mengenal pasti punca yang menyebabkan harga makanan mahal," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Menu Rakyat 1Malaysia (MR1M), di Kuala Terengganu, semalam.
Ghazali berkata setakat ini belum ada kajian secara akademik berhubung perkara tersebut yang dikatakan sering berlaku terutama kepada pelawat.
Media sebelum ini banyak melaporkan perkara berkenaan khususnya di kawasan Dungun, Kerteh, Chukai dan Kemaman termasuk ada kes yang tidak masuk akal seperti caj air kosong RM1.50 di Chukai.
No comments:
Post a Comment