Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin menasihati umat Islam di negara ini agar tidak mencetuskan huru-hara seperti di beberapa negara Timur Tengah kerana perbuatan itu bertentangan dengan ajaran Islam.
Baginda juga meluahkan rasa kecewa terhadap realiti perpaduan umat Islam di negara ini sekarang kerana ada yang saling menjatuhkan antara satu sama lain di samping masih wujud kelompok yang bersikap keakuan.
Titah baginda perpecahan sedemikian melemahkan Islam, apatah lagi jika berlaku huru-hara.
"Beta harap apa yang terjadi di negara Timur Tengah tidak terjadi di negara ini. Ingatlah peringatan Allah S.W.T di dalam kitab suci al-Quran.
"Umat Islam perlu hidup dalam keadaan berkasih sayang seperti saudara mara sendiri dan sekiranya berselisih faham perlulah kembali kepada ajaran al-Quran kerana sumber keamanan adalah al-Quran," titah baginda pada penutupan tilawah al-Quran peringkat negeri, di Kemaman malam kelmarin.
Sultanah Nur Zahirah turut berkenaan berangkat pada majlis itu yang turut dihadiri pembesar negeri.
Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Haji Ahmad Said; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mazlan Ngah dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan, Kazan Che Mat.
Sultan Mizan tidak mahu kemelut politik dan ekonomi serta keadaan kacau bilau yang berlaku di Timur Tengah melanda negara ini kerana perbalahan antara umat Islam.
Sehubungan itu, baginda meminta rakyat negeri ini menyelesaikan secara baik jika mereka berselisih pendapat dan tidak bermusuhan antara satu sama lain.
No comments:
Post a Comment