Wednesday, May 23, 2012

Masjid Lama Kampung Lak Lok Cetus Perpecahan?

Inilah masjid lama Kampung Lak Lok, Besut yang digunakan oleh sekumpulan penduduk sehingga mencetuskan perpecahan.
UMNO Bahagian Besut kesal dengan tindakan sekumpulan penduduk yang menggunakan masjid lama Kampung Lak Lok dekat sini untuk mencetuskan perpecahan di kalangan masyarakat.

Ketua UMNO Bahagian, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, tindakan kumpulan itu menimbulkan bibit yang tidak menyenangkan kerana kini terdapat sebuah masjid yang baru disiapkan, kira-kira 100 meter dari situ.

Beliau mempersoalkan mengapa kumpulan itu yang memulaukan masjid lama itu selama ini kembali semula ke situ untuk solat berjemaah.

Menurutnya, tindakan sedemikian tidak sepatutnya berlaku memandangkan tujuan membina masjid baru yang berharga lebih daripada daripada RM4 juta adalah untuk menyatupadukan masyarakat di samping beribadat dalam suasana lebih selesa.


"Tetapi apa yang dilakukan telah mencetuskan perpecahan di kalangan penduduk kampung," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat ahli jawatankuasa UMNO Bahagian di Jerteh dekat kelmarin.

Sebelum ini penduduk Kampung Lak Lok merungut apabila kebenaran yang diberikan oleh Pejabat Agama Daerah Besut kepada waris pemilik tanah yang mewakafkan untuk masjid lama untuk menjaga tempat ibadat itu mula disalahgunakan.

''Keadaan itu telah menimbulkan kebimbangan penduduk kemungkinan disalahgunakan untuk tujuan politik ekoran kumpulan yang dipercayai didalangi oleh pengikut parti politik pembangkang," ujarnya.

Utusan Malaysia difahamkan, kumpulan yang dipercayai pengikut tegar parti pembangkang itu selama ini menunaikan solat di bangunan surau yang tidak mendapat kebenaran Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT).

Setelah masjid baru dibina tidak jauh dari situ, kumpulan itu juga enggan menggunakannya sebagai tempat solat Jumaat dan berjemaah kerana kononnya masjid kerajaan haram.

Sementara itu, Pegawai Agama Daerah Besut, Azmi Tengah berkata, pihaknya tidak pernah membenarkan individu atau kumpulan tertentu untuk menggunakan masjid lama sebagai tempat menjalankan aktiviti termasuk mengerjakan solat berjemaah dan Jumaat.

Bagaimanapun Azmi berkata, pihaknya mengeluarkan surat pada 8 Februari lalu yang sekadar membenarkan waris pemilik tanah menjaga masjid itu setelah mereka datang menemuinya.

Beliau berkata, berikutan kekecohan itu pihaknya membatalkan surat berkenaan berkuat kuasa serta-merta bermula semalam dan menyerahkan kepada JHEAT atau Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) mengambil tindakan lanjut.

Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment