Wednesday, May 23, 2012
Piala AFC – Kelantan Atau Terengganu Ke Suku Akhir?
Pertembungan dua gergasi Pantai Timur - Kelantan dan Terengganu - pada pusingan kedua Piala Konfederasi Bola Sepak Asia malam ini bukan sekadar untuk menentukan siapa kuasa sebenar bola sepak pantai Timur.
Malah, ia turut menjadi penentu kepada pasukan negeri mana yang layak ke suku akhir dalam kejohanan berprestij itu.
Bagi pasukan Kelantan, beraksi di gelanggang keramat mereka di Stadium Sultan Muhammad IV pasti memberi kelebihan memandangkan ia adalah perlawanan kalah mati, ditambah pula dengan semangat dan moral pemain yang sedang menjulang ekoran kejayaan menjuarai Piala FA pertama, Sabtu lalu.
Namun, Kelantan perlu sedar bahawa mereka bukan sekadar bertembung dengan Terengganu, sebaliknya turut berhadapan dengan bekas jurulatih mereka, James Peter Butler yang pernah mengemudi pasukan itu selama lima bulan musim ini.
Butler percaya beliau mempunyai resipi terbaik untuk memastikan pasukannya tidak pulang dengan berputih mata kali ini. Menurutnya, meskipun baru seminggu menjadi jurulatih Terengganu, beliau kini dapat melihat peningkatan yang ditunjukkan pasukannya dan percaya jika percaturan yang dirancang dapat diaplikasikan di atas padang, kemenangan akan memihak kepada mereka.
"Mungkin kami juga mempunyai antara penyerang import terbaik di negara ini cuma saya rasa dia (Francis Forkey Doe) kurang bernasib baik kerana mengalami kecederaan dan masalah keyakinan diri, Jadi ini adalah peluang terbaik untuk dia buktikan sesuatu dan pasukan juga perlu membuktikannya," tegas beliau.
Jelas Butler, sebagai seorang jurulatih yang pernah membimbing Kelantan sebelum ini mungkin memberinya sedikit kelebihan, namun beliau lebih selesa untuk memberi tumpuan terhadap persiapan Terengganu.
“Saya mengenali para pemain Kelantan kerana saya berada di sini (Kelantan) selama lima bulan dan pernah bekerja keras bersama mereka.
“Saya tinggalkan mereka ketika mereka berada di puncak Liga Super dan saya rasa saya sudah melakukan yang terbaik untuk mereka.
“Perlawanan malam ini menjadi tugas pertama saya bersama Terengganu dan saya mahu melakukan yang terbaik,” jelasnya.
Ketua Jurulatih Kelantan Bojan Hodak pula yakin mempunyai kelebihan bermain di tempat sendiri pada perlawanan pusingan kedua Piala AFC menentang Terengganu di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV mala mini.
Selain itu, kedudukan Kelantan di tempat pertama carta liga Malaysia setelah menjuarai Piala FA juga wajar diberi perhatian oleh pasukan lawan semasa bertemu mereka.
Beliau berkata walaupun tidak meletakkan sasaran tinggi untuk Piala AFC memandangkan Liga Super dan Piala Malaysia lebih penting, Bojan berjanji untuk memberi persembahan terbaik ketika menentang Terengganu.
"Terengganu mempunyai pemain berbakat. Mereka akan melakukan yang terbaik tetapi Kelantan mempunyai kelebihan bermain di tempat sendiri," katanya pada sidang akhbar pra-perlawanan pusingan kedua Piala AFC semalam.
Bagi para pemerhati bola sepak tempatan, mereka menjangkakan aksi cukup sengit malam ini, malah ada yang meramalkan pertembungan itu lebih menarik berbanding aksi final Piala FA yang menemukan Kelantan dan Sime Darby di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Sabtu lalu.
Sumber Bernama, utusan Malaysia & Kosmo!
No comments:
Post a Comment